Flora dan Fauna Bakal Pupus?

Oleh: AMLIR AYAT

Satu daripada petunjuk atau
parameter potensi kesejahteraan sosial
ialah kepelbagaian biologi. Kegagalan
atau kedegilan manusia untuk melihat
alam sebagai aset utama kesejahteraan
sosial yang terbatas ialah satu daripada
faktor kemelesetan sumber alam dari
sudut kuantiti dan kualiti yang kian
mengancam masa hadapan manusia.
Pengabaian terhadap keupayaan
tampung sumber alam untuk mencapai
pembangunan mengundang risiko yang
sangat besar kepada alam.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Februari 2019.

Posted in: Flora dan Fauna

Burung Tiung Mas Terbang Tinggi

Oleh: Jasmi Abdul

Burung tiung mas (Gracula religiosa) atau Hill myna satu daripada spesies burung tiung yang ada di Malaysia. Spesies burung tiung yang lain ialah tiung kerbau, tiung hutan dan tiung batu. Saiz burung tiung mas lebih besar berbanding dengan saiz burung tiung kerbau.

Tiung mas digolongkan dalam keluarga Sturnidae. Bulunya berwarna hitam gelap berkilat. Ada dua keping kulit nipis pada bahagian atas belakang pangkal tengkuknya. Kulit nipis ini berwarna kuning keemasan. Malah, ada juga kulit nipis berwarna kuning keemasan pada bahagian pipinya. Ciri inilah yang menyebabkan burung ini dikenali sebagai tiung mas.

Burung tiung mas mengeluarkan bunyi yang kuat dan nyaring, iaitu tiung, tiung, tiung, berulang-ulang. Bunyi ini boleh didengari hingga hampir 500 meter. Burung tiung mas berbunyi ketika terbang atau ketika hinggap pada dahan pokok yang tinggi. Burung ini berbunyi untuk memanggil burung betina dan menentukan kawasan keliarannya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: Konservasi

BEBUTA ANALGESIK SEMULA JADI

Oleh: Chee Beng Jin

Bebuta atau Excoecaria agallocha sejenis pokok renek yang dapat mencapai ketinggian 15 m. Pokok ini mempunyai daun yang agak tebal dan tumbuh dalam susunan berpusar. Secara lazimnya, daun pokok bebuta bertukar warna daripada hijau ketika matang kepada merah kekuningan atau jingga sebelum gugur apabila tua. Bebuta ialah tumbuhan diesius, iaitu mempunyai bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berlainan.

Pokok ini mengeluarkan getah putih daripada seluruh bahagian tumbuhan. Bunga kecil dihasilkan pada jambak bunga yang berbentuk katkin pada bahagian aksil daunnya. Buahnya kecil dan berbentuk kapsul, serta mengandungi tiga lompang biji benih. Setelah matang, kapsul ini pecah dan menyebarkan bijinya. Pokok ini mempunyai jalinan akar yang mempunyai struktur bersimpul dan mempunyai liang pernafasan yang tumbuh cetek, serta menjalar pada permukaan tanah.

Bebuta tumbuh subur di habitat semula jadinya, iaitu di kawasan yang lebih kering dan tinggi di hutan paya laut. Flora ini tersebar meluas di kawasan pesisiran pantai di beberapa negara, seperti selatan India, Sri Lanka, Myanmar, China, Taiwan dan rantau Asia Tenggara sehingga kawasan utara Australia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Herba

LANDAK NIBUNG PANDAI BERENANG

Oleh: Jasmi Abdul

Landak nibung (Atherurus macrourus) atau landak batu atau “Brush-tailed Purcupine” ialah satu daripada tiga spesies landak yang ada di Malaysia. Dua spesies landak yang lain ialah landak raya (Hystrix brachyura) dan landak padi (Trichys lipura).

Landak padi pula ialah landak yang paling kecil antara ketiga-tiga spesies landak ini dengan berat tidak melebihi dua kilogram. Landak nibung berbeza daripada landak raya dari segi bentuk, saiz dan warna bulunya. Landak nibung lebih kecil berbanding dengan landak raya. Berat badannya lebih kurang empat kilogram.

Taburan landak nibung bermula dari Assam di India sehingga selatan China, Indochina dan Sumatera. Bulunya berwarna coklat dan lebih pipih berbanding dengan bulu landak raya yang lebih panjang, bulat dan tajam seperti duri. Landak raya boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram dan bulunya berwarna hitam dan putih. Semua spesies landak tinggal di dalam lubang yang digalinya. Landak aktif pada waktu malam dan lebih gemar tidur atau berehat pada waktu siang.

Landak nibung jarang-jarang ditemukan, tidak seperti landak raya yang kesan tapak kakinya mudah dilihat di kawasan hutan tanah pamah, terutamanya di laluan jalan balak atau di tepi tebing sungai yang berpasir.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Konservasi

JARUM TUJUH BILAH POKOK ANTIKANSER

Oleh: Mohamad Azli Azman

Pokok jarum tujuh bilah dikenali kerana kesannya terhadap kanser. Genus pokok ini ialah Pereskia. Pokok yang berasal daripada keluarga Cactacae ini mempunyai 17 spesies tumbuhan renek yang berdaun. Spesies tumbuhan ini terdiri daripada tumbuhan berkayu dan renek sehingga pokok yang tingginya hingga 20 meter (Pereskia lychnidiflora).

Jarum tujuh bilah hidup di kawasan hutan tropika yang kering, tetapi bukan kawasan yang tiada air langsung. Daun pokok ini luruh pada musim kemarau. Pokok ini ialah tumbuhan berkayu yang tidak telap air, dengan ciri fotosintesis C3 dan keupayaan kitar metabolisme asid krasulasean (CAM) yang lemah.

Kitar CAM merujuk fotosintesis CAM. Dalam kitar ini, pokok jarum tujuh bilah membuka stomata pada waktu siang dan menutupnya pada waktu malam, tetapi mengaplikasikan laluan metabolik CAM untuk mengasimilasikan respirasi CO2 dalaman. Potensi air minimum di dalam daun tumbuhan ini amat tinggi bagi jenis tumbuhan berkayu di kawasan tropika separa gersang.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Herba

KULAT SUSU HARIMAU BANTU PULIHKAN TENAGA

Oleh: Chee Beng Jin

Kulat susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerotis ialah sejenis fungi yang agak sukar ditemukan di habitat semula jadinya pada masa ini. Secara lazimnya, kulat susu harimau tumbuh secara individu yang berasingan di kawasan lantai hutan yang redup dan kaya dengan bahan organik, seperti tunggul kayu reput.

Secara umumnya, struktur kulat ini ringkas dan dapat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian payung atau tudung, batang dan ubi atau sklerotium. Bahagian payung berbentuk bulat pipih dan diameternya hingga 20 cm. Bahagian payung kulat ini berwarna perang kemerah-merahan pada bahagian atas, manakala berwarna putih pada bahagian bawah. Pada bahagian bawahnya juga ada liang atau porus yang menghasilkan spora seni.

Bahagian payung ini disokong oleh batang yang padat yang tumbuh berlunjur daripada bahagian ubi atau sklerotiumnya. Bahagian yang biasanya ditemukan di bawah lapisan tanahialah ubi atau lebih dikenali sebagai sklerotium. Ubi ini mempunyai isi berwarna putih yang padat dan lapisan luar yang keras seakan-akan berkayu.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: Herba

BEREK-BEREK CARIK DADA SUKAR DIPERLIHARA

Oleh: Jasmi Abdul

Berek-berek carik dada atau “Blue-tailed bee-eater” ialah burung yang berasal daripada keluarga Miropidae. Nama saintifiknya ialah Merops philippinus. Burung berek-berek carik dada biasanya ditemukan di kawasan lapang, kawasan pertanian, sawah padi, paya rumput, hutan paya bakau dan kawasan pinggir pantai.

Burung ini juga dikenali sebagai burung beberek. Bunyinya nyaring dan garau, iaitu berek, berek, berek atau preep, preep,preep, berulang-ulang. Mungkin daripada bunyi ini, orang Melayu menamakan burung ini sebagai burung berek-berek. Burung berek-berek carik dada mempunyai warna yang agak menarik. Kepalanya berwarna coklat kemerah-merahan. Bulu pada bahagian perutnya berwarna kelabu. Ekornya pula berwarna biru. Pada bahagian matanya ada bulu berwarna hitam memanjang seakan-akan topeng.

Panjang keseluruhan berek-berekcarik dada antara 23 cm hingga 25 cm. Muncung atau paruhnya tirus dan panjang, berwarna hitam dan bengkok sedikit ke bawah. Paruh sebegini memudahkannya untuk menangkap serangga yang terbang.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: Konservasi

PERIUK KERA TUMBUHAN KARNIVOR

Oleh: Sulidzah Rainin

Alam tumbuhan alam yang penuh misteri. Ada pelbagai tumbuhan yang pelik dan unik di alam ini. Tumbuhan karnivor antara tumbuhan yang dianggap sebagai misteri dan unik. Hutan hujan tropika satu daripada habitat semula jadi yang menjadi tempat kediaman bagi tumbuhan misteri ini.

Kepelbagaian flora dan fauna menjadikan hutan hujan tropika kaya dengan jumlah spesies tumbuhan dan haiwan. Di hutan hujan tropika, ada sejenis tumbuhan karnivor atau tumbuhan pemakan haiwan yang dikenali sebagai periuk kera. Secara umumnya, tumbuhan dinamakan berdasarkan bentuk fizikalnya yang menyerupai benda tertentu. Walau bagaimanapun, faktor lain juga mempengaruhi nama yang diberikan kepada tumbuhan.

Pokok periuk kera mendapat namanya berdasarkan bentuknya yang seakan-akan periuk yang mempunyai penutup. Di seluruh dunia, ada 700 spesies tumbuhan karnivor yang direkodkan. Spesies yang terbesar dalam kumpulan tumbuhan karnivor ialah spesies periuk kera atau Nepenthes spp.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Flora

DURIAN BELANDA ANTIPARASIT

Oleh: Chee Beng Jin

Durian belanda atau Annona muricata sejenis pokok renek bersaiz kecil yang dapat membesar sehingga mencapai ketinggian 10 m. Batang pokok durian belanda agak unik kerana bercabang pada bahagian pangkal. Bentuk daunnya bujur panjang dan tersusun secara berselang-seli. Permukaan atas daunnya berkilat dan berwarna hijau tua, manakala warna permukaan bawahnya hijau muda dan pudar.

Durian belanda ialah tumbuhan tidak bermusim dan dapat membiak menerusi biji benih atau keratan batang. Bunga durian belanda jenis tunggal dan terbentuk pada batang, dahan atau hujung ranting. Bunganya berwarna hijau kekuningan yang mempunyai tiga sepal yang berbentuk segi tiga dengan enam kelopak bunga.

Buah durian belanda berbentuk bujur runcing dan sedikit melengkok. Buah ini terbentuk daripada cantuman buah kecil. Warna buahnya hijau tua dan mempunyai duri pendek yang lembut. Isinya berserat, lembut dan berjus, serta ada biji yang berwarna hitam dan berkilat.

Fakta Menarik:

1. Buah durian belanda mengandungi kandungan serat dapat dimakan yang agak tinggi, iaitu 67%, dan kaya dengan sumber vitamin B (0.07 mg/100 g pulpa) dan vitamin C (20 mg/100 g pulpa).

2. Berdasarkan kajian sains makanan dan nutrisi, buah ini mempunyai banyak bahan mineral utama, seperti kalium, kalsium, natrium, kuprum, magnesium dan ferum, di dalam buahnya. Oleh sebab itu, pengambilan buah ini dapat membekalkan zat ini kepada badan manusia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

Posted in: Herba

TUNTUNG LAUT TERANCAM

Oleh: Azlina Su

Callagur borneoensis atau tuntung laut ialah spesies yang terancam. Haiwan ini unik kerana habitatnya di sungai, tetapi bertelur di kawasan pantai berpasir. Tuntung laut dapat dikenali berdasarkan tanda merah pada bahagian kepalanya dan bilangan jari kakinya, iaitu lima jari. Bilangan jari ini berbeza daripada spesies tuntung sungai yang mempunyai empat jari kaki sahaja dan saudara terdekat bagi spesies ini.

Cangkerang tuntung laut berwarna keputihan dan sangat keras. Tuntung laut termasuk dalam kategori Filum Chordata, kelas Reptilia, order Testudines dan keluarga Emididae, iaitu sama seperti tuntung sungai, Batagur baska. Nama tempatan lainnya ialah “painted batagur”, “saw-jawed turtle” dan “three-striped Batagur”.

Spesies ini dikategorikan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) sebagai spesies yang sangat terancam dan disenaraikan dalam buku Red List of Threated Animals 1994 bersama-sama dengan 316 lagi spesies reptilia, seperti “river terrapin”, “radiated tortoise” dan “chinese alligator”. Malaysia satusatunya negara yang populasi spesies ini masih wujud dengan anggaran bilangan hanya mencapai beberapa ribu ekor.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Konservasi