Aura Pelangi

Oleh Noor Azie Azura

Bianglala atau pelangi merupakan satu daripada gejala optik yang amat digemari oleh masyarakat kerana warnanya yang tersusun kemas dan gah berdiri kendiri di persada langit. Tujuh jalur warna tersemat pada minda sejak di bangku sekolah dengan teknik nemonik, iaitu Mak Jah Ke Hutan Bawa Itik Ungu (Merah Jingga Kuning Hijau Biru Indigo Ungu).

Ciri warna ini juga dikupas oleh Isaac Newton, seorang ahli fizik yang pakar dalam bidang sains dan matematik. Pelbagai konsep yang berguna pada hari ini dicetuskan oleh beliau. Satu daripada penemuan yang diketengahkannya dalam bidang sains optik ialah teori warna Newton.

Pada tahun 1666, Isaac Newton mendapati spektrum warna terhasil apabila satu prisma ditujukan ke arah Matahari dan satu cahaya berwarna putih terhasil apabila dua prisma digunakan. Hingga hari ini, spektrum warna yang terdiri daripada warna merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu seperti warna pelangi digunakan untuk pelbagai tujuan.

Menurut Newton, warna (cahaya monokromatik) terhasil apabila cahaya putih (cahaya polikromatik) diserakkan menerusi proses pembiasan atau pembengkokan. Proses ini juga berlaku ketika pelangi dihasilkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

Sinar Ultralembayung Baik atau Buruk?

Oleh Mohd. Hamzah Harun

Umum mengetahui bahawa sinar ultralembayung (UV) terhasil secara semula jadi daripada cahaya matahari. Apabila Matahari memancarkan sinarnya, sinar yang berbeza-beza panjang gelombang dan tenaga, iaitu inframerah, cahaya nampak dan UV dihasilkan.

Sinar UV sejenis sinaran elektromagnet daripada tenaga matahari yang mempunyai panjang gelombang antara cahaya nampak dengan inframerah. Sinar UV dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu UVA (315 – 400 nm), UVB (280 – 315 nm) dan UVC (100 – 280 nm). Cahaya matahari memancarkan sinar UV pada ketiga-tiga jalur ini. Oleh sebab penyerapan lapisan ozon, 99 peratus daripada sinaran yang dipancar ke Bumi ialah UVA.

Nama ultralembayung berasal daripada bahasa Latin. Ultra bermaksud beyond dan lembayung ialah panjang gelombang terpendek dalam cahaya nampak. Sinar UV juga dikenali sebagai cahaya gelap kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Burung, reptilia dan serangga antara sebahagian daripada fauna yang bertuah kerana dapat melihat sinar UV.

Johann Wilhelm Ritter, ahli fizik Jerman, menemukan sinar UV pada tahun 1801. Beliau melakukan eksperimen menggunakan argentum klorida (sejenis bahan kimia peka cahaya) dan berjaya membuktikan kewujudan sejenis sinar yang dikenali sebagai sinar kimia.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

Resonan dan Muzik

Oleh Noor Azie Azura

Muzik ialah gubahan bunyi bagi memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan, seperti yang ditafsirkan dalam kamus komprehensif bahasa.

Sebenarnya, muzik dikenali sejak zaman Nabi Muhammad SAW, iaitu nasyid atau insyad. Nasyid terulung yang pernah direkodkan dalam sejarah Islam adalah ketika penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah. Ada pula yang berpendapat bahawa muzik bermula hampir seusia dengan kehadiran manusia moden homosapien pada 180 ribu – 100 ribu tahun dahulu. Pada waktu itu, evolusi pemikiran otak manusia berlaku.

Tidak banyak orang yang berfikir tentang cara muzik dicipta. Umumnya, muzik dikaitkan dengan ilmu fizik. Satu daripadanya ialah resonan. Seorang penyanyi perlu tahu bahawa mereka mengaplikasikan teori fizik, iaitu resonan ketika menyanyikan lagu.

Resonan yang dihasilkan oleh penyanyi melibatkan getaran udara dalam suatu rongga, iaitu rongga mulut, dada dan hidung. Rongga atau resonator amat penting bagi penyanyi dalam menghasilkan ton suara yang baik, di samping kawalan pernafasan, bukaan mulut dan lontaran suara. Pada dasarnya, lagu yang dinyanyikan oleh manusia mempunyai julat frekuensi antara 100 – 1000 Hz.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik

Pengamatan Corak Aliran Bendalir

Oleh Mohamad Asmidzam Ahamat dan Mohd. Firdaus Beludtu

Mekanik bendalir merupakan satu daripada cabang sains yang kurang digemari oleh sebahagian pelajar kerana sifatnya yang agak abstrak berbanding dengan mata pelajaran yang lain. Contohnya, udara yang bertiup tidak dapat dilihat, tetapi dapat dirasai pergerakannya.

Namun begitu, jika udara yang bertiup membawa bersama-sama daun kering, corak pergerakan udara dapat dilihat dan kelajuan aliran udara dapat dianggarkan. Hal ini menunjukkan bahawa corak aliran suatu bendalir dapat dizahirkan menggunakan teknik yang betul.

Satu daripada bidang kajian dalam mekanik bendalir ialah pengamatan corak aliran suatu bendalir. Bidang ini penting kerana kebanyakan persamaan dan hukum dalam ilmu mekanik bendalir diperoleh melalui eksperimen. Mutakhir ini, pengamatan aliran banyak membantu pengesahan dapatan dalam simulasi komputer.

Ada beberapa teknik yang dapat digunakan bagi menampakkan corak aliran suatu bendalir. Teknik yang digunakan bergantung pada jenis corak aliran yang ingin dikaji dan darjah keterperincian analisis yang diperlukan.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Fizik