Pembalakan Impak Rendah

Oleh: Mohd. Izwan Ramlan dan Azharizan Mohd. Norizan

Pembalakan impak rendah (RIL) ialah konsep pelaksanaan kaedah pengusahasilan hutan untuk mengurangkan impak hingga 20 peratus daripada kerosakan baki stok pokok, tanah dan kualiti air. Kaedah ini dilakukan untuk mengekalkan kapasiti produktif dan fungsi hutan yang berada di kelilingnya.

Kaedah RIL terbukti dapat mengurangkan kerosakan dirian tinggal sebanyak 50 peratus berbanding dengan pembalakan konvensional. Beberapa faktor, seperti ekonomi dan penggunaan traktor secara meluas, menyumbang pelaksanaan RIL berbanding dengan sistem penuaian yang lain.

Teknik dan garis panduan pembalakan secara RIL bukanlah preskripsi yang tetap atau jumud, tetapi penyesuaian teknik pembalakan yang terbaik terhadap keadaan fizikal-hayat dan keadaan ekonomi sedia ada. Kebaikan pembalakan secara RIL bergantung pada banyak perkara, terutamanya perancangan yang baik, jentera pembalakan yang sesuai, pekerja yang terlatih, pengawalan dan pemantauan yang kemas dan rapi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: DARIPADA FRIM

MASYARAKAT SETEMPAT PULIHARA HUTAN PAYA LAUT

Oleh: Hyrul Izwan, M.H., Ismail, P., Tariq Mubarak, H. dan Mohd. Ghazali, H.

Dirian hutan paya laut di sepanjang kawasan pesisiran pantai dan muara sungai berlumpur berperanan penting terhadap kesejahteraan penduduk yang tinggal berhampiran dengannya. Dirian yang padat dan kepelbagaian lapisan membentuk zon penampan semula jadi yang berkesan untuk melindungi masyarakat pesisiran pantai daripada impak ombak besar dan angin kencang, termasuklah tsunami.

Hutan paya laut juga berperanan sebagai perangkap sampah dan penapis semula jadi untuk mengurangkan kesan pencemaran air laut. Selain itu, hutan paya laut turut memainkan peranan penting sebagai kawasan pembiakan utama bagi hidupan akuatik, seperti ikan, ketam, udang, kerang dan siput, serta menjadi habitat bagi hidupan darat, seperti serangga, burung, kelawar, primat dan kelip-kelip.

Selain itu, hutan paya laut yang memiliki nilai estetika tersendiri makin menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara dalam aktiviti memerhati burung dan hidupan liar, serta menyusuri sungai sambil menghayati keindahan alam. Keadaan ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pesisiran pantai yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan pantai untuk berkecimpung dalam industri ekopelancongan yang makin berkembang di Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

ADAPTASI DAN PENGURUSAN HUTAN ATASI PERUBAHAN IKLIM DUNIA

Oleh: Azian Mohti dan Norsheilla Mohd. Johan Chuah

Banyak bukti menunjukkan bahawa perubahan iklim dunia berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia. Oleh sebab itu, usaha awal perlu dilakukan dengan cara menyelamatkan hutan dunia. Usaha awal ini ialah kaedah yang terbaik dan paling murah yang dapat dilakukan untuk menangani masalah perubahan iklim dunia.

Antara isu utama dalam sektor perhutanan termasuklah cara hutan dan penduduk yang bergantung pada hutan ini beradaptasi terhadap perubahan iklim. Isu ini berkaitan rapat dengan isu setempat bagi kebanyakan negara di dunia. Walau bagaimanapun, usaha untuk menangani isu dan masalah ini masih kurang diberikan perhatian. Kebanyakan isu ini hanya cuba diselesaikan apabila berlaku masalah daripada isu ini.

Pada tahun 2007, Panel antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa pemanasan iklim global makin ketara dan mungkin berlaku disebabkan oleh sumber antropogenik. Kesan daripada pemanasan global dapat dilihat pada kenaikan purata suhu global, selain kekerapan kemarau dan banjir, corak angin dan ribut, fros, salji dan liputan ais, serta paras air lautan global.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

TERATAI BERPOTENSI TINGGI

Oleh: Marryanna Lion, Mohd. Ghazali Hasan dan Siti Latifah Abdul Halim

Teratai atau lebih dikenali sebagai Nelumbo Nucifera Gaertn ialah satu daripada dua spesies tumbuhan akuatik dalam keluarga Nelumbonaceae. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah teratai india, teratai suci, kacang india dan kacang mesir.

Nama teratai tidak sehebat ros dan lavender, tetapi tumbuhan ini mempunyai potensi yang tinggi dari perspektif ekonomi dan perubatan. Teratai mempunyai keunikan yang tersendiri. Saiz bunganya boleh mencecah diameter hingga 30 cm. Bunga ini mempunyai pelbagai warna, iaitu merah jambu, putih atau kuning.

Daun teratai berlilin untuk membolehkannya menakung air. Berdasarkan keunikan ini, teratai sangat sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan landskap di kawasan berair. Teratai sangat sinonim dengan negara India dan Vietnam. Tumbuhan ini banyak didapati secara semula jadi di kawasan tasik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

TEKNOLOGI GEOSPATIAL URUS HUTAN TADAHAN AIR

Oleh: Mohd. Azahari Faidi dan Siti Aisah Shamsuddin

Air ialah keperluan utama hidupan di muka bumi. Air perlu dijaga dan dirawat dengan sebaik-baiknya agar selamat diminum dan digunakan dalam aktiviti harian. Kawasan hutan tadahan air (HTA) ialah kawasan hutan yang menampung air secara semula jadi menerusi landskap sekitaran dalam suatu sempadan lembangan.

Input utama bagi kawasan tadahan air ialah air hujan. Air ini seterusnya mengalir keluar ke dalam sistem saliran, sungai, tasik dan laut sebagai keluaran. Secara tidak langsung, HTA berperanan sebagai sumber bekalan air mentah dan bertindak sebagai kawasan konservasi bagi kepelbagaian biologi.

Hutan ini juga dapat dijadikansebagai kawasan penyelidikan dalampembelajaran dari aspek pemeliharaan dan perlindungan kawasan hutan bagi tadahan air. Perubahan kualiti sumber air mentah dari kawasan HTA dipengaruhi oleh aktiviti manusia yang dilakukan secara tidak terkawal.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

SARAP HUTAN PENTING

Oleh: Mohd Afzanizam Muda

Ekosistem hutan hujan tropika ialah sistem ekologi yang kompleks yang saling berhubung kait untuk memastikan interaksi dan kemandirian sesuatu komuniti (hidup dan bukan hidup), terus wujud. Produktiviti dalam ekosistem daratan berhubung kait secara langsung dengan kitar nutrien yang menghubungkan tumbuhan dengan tanah.

Dalam ekosistem hutan, secara umumnya, produktiviti primer dinilai berdasarkan penghasilan sarap hutan. Hal ini dikatakan demikian kerana daun kering ialah sumber utama karbon organik tanah dan kitar nutrien tumbuhan. Ahli ekologi mentakrifkan kitar nutrien sebagai penggunaan, perubahan, gerakan dan guna semula nutrien di dalam tanah. Nutrien pula merujuk elemen yang diperlukan oleh tanah dalam proses biologi organisma. Secara lazimnya, ada tiga kitar nutrien utama, iaitu kitar nitrogen, kitar karbon dan kitar fosforus. Nutrien ini memasuki ekosistem daratan menerusi proses geologi, hidrologi dan biologi. Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

HUTAN PENYELAMAT DUNIA

Oleh: Norsheilla Mohd. Johan Chuah, Azian Mohti dan Samsudin Musa

Suhu anomali permukaan Bumi dilaporkan meningkat secara purata antara 0.14°C hingga 0.25°C dalam tempoh 10 tahun. Panel antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan peningkatan suhu global permukaan Bumi secara purata adalah lebih kurang antara 1.1°C hingga 6.4°C antara tahun 1990–2100.

Kehadiran gas rumah hijau di atmosfera, terutamanya karbon dioksida (CO2), yang tinggi menjadi punca bagi peningkatan suhu Bumi. Hal ini menyebabkan Bumi panas dan iklim dunia berubah. Berdasarkan statistik, emisi CO2 global tahun 2017 meningkat dua peratus menjadi 36.8 Gt CO2.berbanding dengan tahun 2016.

Peranan hutan untuk menangani perubahan iklim, sangat besar. Sebagai contohnya, hutan membantu menyejukkan Bumi. Hutan juga berupaya menyerap gas CO2 yang ada di atmosfera menerusi aktiviti fotosintesis dan menghasilkan gas oksigen (O2) yang sangat diperlukan oleh manusia. Dapat dikatakan bahawa hutan ialah penyelamat dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana gas CO2 yang diambil oleh hutan dapat ditukarkan kepada simpanan dalam bentuk karbon.

Pokok berperanan untuk menyerap CO2 di atmosfera menerusi proses fotosintesis.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

SPF PASOH BERTARAF ANTARABANGSA

Oleh: Musalmah Nasardin, Salleh Mat, Yao Tze Leong dan Ahmad Awang

Berada pada koordinat 2.98ºU 102.31ºT, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Pasoh terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan, lebih kurang 140 km dari Kuala Lumpur. SPF ini terletak di kawasan Hutan Simpan Pasoh yang berkeluasan 13 900 ha.

Hutan Simpan Pasoh menerima purata hujan tahunan yang rendah, iaitu 1842 mm dengan purata suhu 25.4°C. Kawasan ini antara kawasan terkering di Semenanjung Malaysia. Hutan simpan Pasoh ialah hutan hujan tanah pamah, iaitu hutan yang berada pada ketinggian antara 0 meter hingga 600 meter dari aras laut.

Di samping itu, Hutan Simpan Pasoh menjadi habitat bagi ribuan spesies flora dan fauna. Hutan ini juga didominasi oleh keluarga dipterokarpa, iaitu tumbuhan yang mempunyai buah dengan dua sayap. Hutan ini unik kerana dikategorikan sebagai sejenis pulau hutan yang terpisah daripada tulang belakang rangkaian hutan di Semenanjung Malaysia yang bersambung dari Perlis hingga Johor dan dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah.

Aktiviti penyelidikan di hutan simpan Pasoh bermula sejak tahun 1964. Pada ketika itu, sekumpulan ahli sains dari Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI), Lembaga Getah Malaysia dan Universiti Malaya melihat potensi besar yang ada pada hutan ini untuk dijadikan sebagai makmal semula jadi bagi penyelidikan ekologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

PAKU-PAKIS DI BORNEO

Oleh: Nor Ezzawanis Abdullah Thani dan Ummul Nazrah Abdul Rahman

Kepulauan Borneo kepulauan ketiga terbesar di dunia. Sabah dan Sarawak sebahagian daripadanya. Dianggarkan bahawa antara 1
0 ribu hingga 12 ribu spesies tumbuhan berbunga dan berbuah wujud di kepulauan Borneo.

Kajian yang dilakukan oleh Soepadmo pada tahun 1995 yang diterbitkan dalam buku Tree Flora of Sabah and Sarawak menunjukkan bahawa antara 40% – 50% flora endemik di pulau dan 80% spesies endemik di Sabah dan Sarawak. Borneo merangkumi Sabah dan Sarawak (Malaysia), serta negara jiran, iaitu Brunei dan Indonesia (Kalimantan).

Diversiti tumbuhan di kepulauan Borneo sangat tinggi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh P.S. Ashton terhadap keluarga Dipterocarpaceae, Sabah dan Sarawak direkodkan mempunyai 257 spesies. Sebanyak 156 spesies pula endemik. Daripada jumlah ini, 59 spesies endemik di Sabah dan Sarawak sahaja.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

POKOK ASAM BATU BERMANFAAT

Oleh: Rafidah Abdul Rahman, Ummul Nazrah Abdul Rahman dan Siti Nor Azira Hussain

Begonia atau lebih dikenali sebagai pokok asam batu termasuk dalam keluarga Begoniaceae. Tumbuhan ini turut dikenali sebagai reriang atau heriang. Dalam keluarga Begoniaceae, hanya ada dua genus, iaitu Begonia dan Hillebrandia (hanya satu spesies ditemukan di Hawaii). Nama genus Begonia adalah bersempena dengan nama Michel Bégon (tahun 1638 – 1710) yang pernah menjadi Gabenor Perancis (koloni Saint-Doningue atau Haiti).

Begonia memiliki daun yang cantik dengan pelbagai bentuk, warna, corak dan tekstur yang menakjubkan, serta jarang-jarang dapat dilihat pada tumbuhan lain. Selain itu, tumbuhan ini memiliki ciri asimetri yang ketara pada pangkal daunnya, iaitu sebelah daun yang lebih besar. Permukaan atas daun tumbuhan ini selalunya berwarna hijau, manakala permukaan bawahnya berwarna kemerahan atau perak keputihan.

Di samping itu, daun Begonia juga mempunyai permukaan, sama ada licin atau memiliki rerambut halus. Keunikan dan kecantikan daun Begonia menjadikan tumbuhan ini begitu dikenali sebagai tumbuhan landskap dan hiasan, serta mempunyai kepentingan komersial dalam perniagaan hortikultur.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM