Air Liur Pengganti Darah

Oleh: Zulkefli Sanip

Pengesanan awal sesuatu penyakit penting dalam perancangan rawatan yang sesuai dan prognosis penyakit. Secara biasanya, sampel cecair tubuh, seperti darah, diambil daripada pesakit bagi tujuan ini. Cecair tubuh lain, seperti urin (air kencing) dan sampel najis, turut digunakan tetapi bergantung pada keperluan diagnostik.

Selain itu, saliva (air liur) juga berpotensi besar untuk digunakan sebagai cecair diagnostik kerana adanya beberapa kelebihan berbanding dengan darah dan cecair tubuh lain dalam pemantauan kesihatan sistemik dan perkembangan penyakit. Berdasarkan kajian yang dilakukan, didapati bahawa kebanyakan komponen di dalam saliva dapat bertindak sebagai biopenanda bagi tujuan diagnostik pelbagai penyakit sistemik dan setempat.

Sama seperti saliva, darah ialah cecair tubuh yang kompleks dan mengandungi pelbagai komponen molekular, termasuklah enzim, hormon, antibodi dan faktor pertumbuhan. Walaupun sering digunakan, prosedur pengumpulan dan analisis darah selalunya mahal, memerlukan kemahiran dan invasif. Penggunaan saliva sebagai medium bagi penilaian dan pembangunan biopenanda menghilangkan ketidakselesaan pesakit menerusi penyediaan kaedah pengesanan penyakit yang tidak invasif.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: SAINS FORENSIK

RAMBUT BUKTI JENAYAH

Oleh: Anizah Mahmod

Satu daripada bahan bukti yang dapat ditemukan di tempat jenayah ialah rambut. Secara puratanya, rambut pada kepala manusia gugur antara 50 helai hingga 100 helai sehari. Hal ini memungkinkan rambut tertinggal dilokasi yang menjadi tempat seseorang itu berada, seterusnya dapat diambil untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

Rambut dapat dijadikan sebagai bukti forensik yang baik kerana sifatnya yang kuat dan terbina dengan baiknya. Rambut dapat bertahan dalam tempoh yang lama walaupun setelah mayat reput. Rambut juga mempunyai maklumat asid deoksiribonukleik (DNA). Proses analisisnya mudah dan berkesan dari segi kos. Di dalam sehelai rambut, ada banyak maklumat penting bagi tujuan pengenalpastian.

Secara umumnya, morfologi dan warna rambut dapat memberikan petunjuk bagi keturunan seseorang. Maklumat, seperti spesies (rambut manusia atau bulu haiwan), lokasi rambut pada badan, rawatan rambut, penyakit, dan sama ada rambut jatuh secara semula jadi atau ditarik secara paksa, ialah suatu yang dapat ditentukan. Oleh sebab itu, rambut yang ditemukan di tempat jenayah dapat digunakan sebagai bahan bukti.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: SAINS FORENSIK

Botani Forensik Kesan Jenayah

Oleh: Heo Chong Jin

Botani ialah disiplin sains biologi yang mengkaji tumbuhan. Tumbuhan merangkumi alga, fungi, liken, lumut, paku-pakis, konifer dan tumbuhan berbunga. Walaupun fungi dan alga diklasifikasikan di bawah Alam yang tersendiri, iaitu alam Kulat dan alam Protista, ilmu tentang kulat dan alga dipelajari oleh kebanyakan ahli botani di universiti.

Ilmu botani amat penting dalam kehidupan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana kajian tentang tumbuhan mengembangkan tamadun, budaya dan kebajikan manusia secara keseluruhannya. Sebagai contohnya, tumbuhan menyumbang kemajuan dalam dunia perubatan (herba dan antibiotik), kesihatan awam, sekitaran, penghasilan makanan, pakaian dan bahan pembinaan bangunan, memberikan nilai estetika dan perhiasan, selain menjaga keseimbangan ekosistem global.

Tidak dinafikan bahawa hubungan antara manusia dan semua organisma lain dengan tumbuhan, amat rapat dan saling bergantung antara satu dengan lain. Dapat dikatakan bahawa, jika tiada tumbuhan yang berperanan sebagai pengeluar, tiadalah haiwan (dikatakan sebagai pengguna) di muka bumi ini.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: SAINS FORENSIK