KEKUATAN KONKRIT DAN BAHAN

Oleh: Mohd. Zaid Yusof

Konkrit digunakan dalam pelbagai struktur, seperti bangunan, empangan, tembok penahan dan struktur lepas pantai. Struktur konkrit terdiri daripada pelbagai jenis, sama ada yang dihasilkan dengan menggunakan konkrit biasa atau konkrit yang menggunakan bahan gantian agregat atau bahan gantian simen atau seumpamanya.

Anatomi konkrit juga sama, iaitu terdiri daripada bahan utama, seperti simen, agregat dan air. Dari segi reka bentuk, kekuatan konkrit yang dihasilkan mempengaruhi rupa bentuk dan saiz elemen struktur yang dihasilkan, sama ada struktur utama atau struktur sekunder.

Konkrit terdiri daripada bahan utama dan sampingan. Bahan utama ini ialah simen, agregat dan air. Bahan sampingan pula, seperti polimer, resin dan bahan pemplastik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Sindrom Bangunan Sakit

Oleh: Mohammad Rais Shahril

Sindrom bangunan sakit (SBS) ialah keadaan penghuni sesebuah bangunan yang mengalami masalah kesihatan atau tidak selesa ketika berada di dalam bangunan. SBS terjadi apabila kualiti udara dalaman, rendah.

Contoh masalah kesihatan yang dialami oleh penghuni yang terdedah pada SBS ialah kesukaran bernafas, pening kepala, selesema, pedih mata dan sakit tekak. Selain itu, golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami SBS ialah kanak-kanak dan warga emas. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini banyak menghabiskan waktu di dalam rumah atau bangunan.

SBS diperkenalkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 1982 kerana ada banyak kes yang berkaitan dengan bangunan sakit. SBS biasanya berlaku disebabkan oleh kekurangan atau kesilapan reka bentuk sistem, pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.