Kupu-kupu dan Rama-rama Biopenunjuk Alamdan

Oleh: Siti Asmah Muslim, Dzulhelmi Nasir dan Wong Chun Xing

Kupu-kupu sering disalah anggap sebagai serangga yang terbang pada waktu malam, mempunyai warna yang kurang menarik dan antena yang berbulu. Yang sebenarnya, kupu-kupu ialah serangga yang mempunyai sepasang sesungut, empat sayap dan biasanya berwarna-warni dan terang.

Rama-rama pula ialah serangga yang bersayap empat yang lebih banyak terbang pada waktu malam Alamdan tertarik pada cahaya. Rama-rama juga mempunyai warna sayap yang agak gelap dan badan yang lebih besar berbanding dengan kupu-kupu.

Secara saintifiknya, kupu-kupu dikelaskan dalam satu order di bawah kelas serangga, iaitu Lepidoptera. Kata Lepidoptera berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud “lepido”, iaitu sisik, dan “ptera”, iaitu sayap. Dalam order Lepidoptera, lebih 90 peratus spesiesnya terdiri daripada rama-rama, manakala selebihnya terdiri daripada kupu-kupu dan “skipper”. Ada dua kumpulan keluarga besar Lepidoptera, iaitu Heterocera (rama-rama) dan Rhopalocera, yang terdiri daripada dua subkeluarga di bawahnya, iaitu Papilionoidea (kupu-kupu) dan Hesperiidae (“skipper”).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: SAINS HAIWAN

TENGGILING MALAYA AGEN PENGAWAL SEMULA JADI

Oleh: Muhammad Hafiz Sulaiman dan Chong Ju Lian

Tenggiling ialah satu-satunya mamalia yang bersisik. Ada lapan spesies tenggiling di seluruh dunia. Empat spesies daripadanya dapat ditemukan di Asia, iaitu tenggiling sunda atau tenggiling malaya (Manis javanica), tenggiling palawan atau tenggiling filipina (Manis culionensis), tenggiling china atau tenggiling formosan (Manis pentadactyla) dan tenggiling india (Manis crassicaudata).

Yang bakinya, iaitu empat spesies tenggiling yang lain, direkodkan di Afrika. Tenggiling ini ialah tenggiling gergasi (Smutsia gigantea), tenggiling temminck (Manis temminckii), tenggiling berperut hitam (Uromanis tetradactyla) dan tenggiling berperut putih (Phataginus tricuspis).

Tenggiling sunda dan tenggiling china dikategorikan sebagai haiwan yang sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN). Tenggiling india dan tenggiling palawan pula dikategorikan sebagai terancam.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: SAINS HAIWAN

KUMBANG KURA-KURA PENYELAMAT PETANI

Oleh: Mohamad Khairul Anuar Mohd. Isa

Kumbang kura-kura atau “ladybugs” atau “lady beetle” sejenis serangga yang comel. Ada lebih kurang 5000 spesies kumbang ini di dunia. Secara umumnya, serangga ini mempunyai tujuh bintik hitam dengan badannya berkilat. Kumbang ini mempunyai badan berbentuk kubah dengan enam kaki yang pendek.

Bergantung pada spesies, kumbang ini dapat mempunyai bintik, jalur atau tiada tanda sama sekali, dengan warna cangkerang, sama ada merah, jingga atau kuning. Kumbang kura-kura mempunyai kepala berwarna hitam dengan tompok putih pada kedua-dua sisi kepalanya. Ada juga orang yang menyatakan bahawa serangga ini kelihatan seperti buaya kecil.

Kumbang ini sejenis serangga daripada keluarga Coccinellidae. Dari segi morfologi, kumbang ini mempunyai bahagian abdomen, badan dan kepala. Dalam kebanyakan kepercayaan, serangga ini dianggap sebagai pembawa nasib baik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: SAINS HAIWAN

Cerithidea Obtusa Jana Ekonomi

Oleh: Suhana Mohamed

Cerithidea obtusa atau siput sedut ialah sejenis hidupan daripada keluarga Cerithiidae atau keluarga siput yang menjadi makanan bagi orang Malaysia dan Asia Tenggara sejak zaman dahulu. Jenis siput sedut yang biasa dimakan ialah spesies siput yang hidup semula jadi di kawasan hutan bakau di Asia Pasifik. Jangka hidup siput bergantung pada pasang dan surut air, iaitu air tawar dari daratan dan air masin dari lautan yang bersih dan tidak tercemar.

Saiz siput sedut lebih kurang antara 2 cm hingga 5 cm panjang dengan kerang atau kulit keras berbentuk spiral yang tajam pada bahagian hujungnya. Secara umumnya, siput sedut di Malaysia berwarna coklat berbelang kuning atau berjalur hitam seiring dengan kualiti air dan lumpur di kawasan hutan bakau yang menjadi habitat bagi siput sedut ini. Siput sedut mengandungi isi atau hidupan di dalamnya (yang lembut) dan boleh bergerak dengan menggunakan kakinya pada batang pokok kayu bakau.

Pada bahagian bawah siput sedut ada satu lapisan penutup yang berbentuk bulat yang berfungsi untuk menutup isinya. Apabila siput sedut dimasak, hujungnya dipotong untuk memudahkan isinya disedut untuk dimakan. Antara hidangan yang popular dimasak termasuklah masak lemak cili padi bercampur keladi dan sambal siput sedut.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: SAINS HAIWAN