KEHAMILAN SIHAT BOLEH DIRANCANG

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Sebelum seseorang wanita itu hamil, beberapa panduan kehamilan sihat yang dirancang yang dikenali sebagai kehamilan yang dirancang perlu diketahui. Hal ini penting supaya kehamilan berakhir dengan keceriaan dan menjadi suatu perkara yang sangat
menggembirakan dalam fasa kehidupan wanita.

Tempoh kehamilan juga sepatutnya menjadi masa yang paling sesuai bagi wanita untuk mula menjaga diri dengan baiknya dari segi fizikal dan emosi. Wanita hamil perlu memberikan peluang terbaik kepada dirinya untuk melalui proses kehamilan yang bebas daripada masalah dan memperoleh bayi yang sihat. Hal ini dapat tercapai apabila beberapa panduan yang mudah, diikuti.

Secara umumnya, ada beberapa panduan untuk memperoleh kehamilan sihat. Antaranya termasuklah merancang lawatan antenatal sejak peringkat awal, menjaga pemakanan dengan baiknya, berhati-hati tentang kebersihan makanan, mengambil asid folik tambahan dan memakan makanan berkhasiat.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

LAWATAN ANTENATAL JANGAN DIABAIKAN

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Apabila seseorang itu hamil, ada beberapa perkara yang biasanya perlu dilakukan. Antaranya termasuklah lawatan antenatal. Lawatan antenatal ialah lawatan yang dilakukan oleh wanita hamil ke klinik sebelum kelahiran anaknya. Dalam lawatan antenatal, lawatan pertama ke klinik dilakukan pada minggu ke-12 kehamilan. Lawatan ini juga dikenali sebagai tempahan, iaitu lawatan yang paling penting bagi wanita hamil.

Lawatan ini memerlukan tempoh pemeriksaan yang agak lama berbanding dengan lawatan yang seterusnya.Wanita hamil dinasihati untuk menjalani pemeriksaan di klinik sekali sebulan (setiap empat minggu) hingga minggu ke-28 bagi kes yang tidak mempunyai masalah.

Setelah itu, lawatan ke klinik perlu dilakukan lebih kerap, iaitu pada setiap dua minggu, hingga minggu ke-36, dan setiap minggu pada bulan akhir. Ujian rutin dilakukan oleh doktor atau jururawat pada setiap lawatan. Hal ini perlu dilakukan untuk memastikan bayi membesar secara normal.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

FORSEPS BANTU KELAHIRAN BAYI

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Dalam proses kelahiran bayi, bantuan luar mungkin diperlukan disebabkan oleh faktor tertentu. Antaranya termasuklah bayi tidak memperoleh oksigen yang mencukupi atau ibu tidak lagi berdaya untuk meneran. Satu daripada bantuan yang dapat diberikan ialah penggunaan forseps. Alat ini diletakkan pada bahagian kepala bayi supaya bayi dapat ditarik keluar. Namun begitu, sebelum forseps digunakan, doktor berbincang dengan pesakit terlebih dahulu tentang kelahiran bayi berbantukan forseps ini.

Secara lazimnya, forseps digambarkan seperti sudu garpu salad buatan keluli tahan karat atau penyepit gula yang besar. Forseps terdiri daripada dua bahagian bersilang. Hujungnya melengkung untuk mencengkam atau memegang kepala bayi.

Secara biasanya, ibu memerlukan kaedah kelahiran bayi sebegini disebabkan oleh faktor tertentu. Sebagai contohnya, bayi mengalami kekurangan oksigen pada peringkat kedua kelahirannya, ibu berasa sangat letih dan tidak berupaya untuk meneran lagi dan bayi tidak memberikan tindak balas atau kemajuan semasa proses meneran. Selain itu, ibu yang mengalami masalah perubatan, seperti sakit jantung, yang menyebabkan ibu tidak dapat meneran dalam tempoh yang terlalu lama juga menyebabkan forseps terpaksa digunakan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

BAYI SONGSANG LAHIR NORMAL

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Bersalin bayi songsang ialah perkara yang ditakuti oleh setiap ibu hamil. Hal ini dikatakan demikian kerana jika bayi di dalam kandungan tidak berada pada kedudukan yang betul, berkemungkinan besar bahawa ibu bakal menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi ini.

Secara asasnya, ketika bayi hendak lahir, kepala bayi perlu berada di bawah. Namun begitu, apabila kaki atau punggung bayi berada di bawah, bayi dikatakan berada dalam keadaan songsang atau melintang. Pada usia kehamilan 28 minggu, bayi masih berupaya untuk bergerak bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana berat badan bayi lebih ringan berbanding dengan berat rahim. Namun begitu, pada usia kehamilan antara 34 minggu hingga 36 minggu, bayi berada dalam kedudukan normal dengan kepalanya memasuki bahagian pelvis, dan kakinya ke atas.

Ada tiga jenis kedudukan janin songsang. Secara biasanya, keadaan sebegini dapat diketahui ketika ibu hamil membuat pemeriksaan antenatal. Pada minggu ke-34, doktor memeriksa semula kedudukan bayi. Dalam hal ini, ujian imbasan ultrabunyi abdomen dilakukan untuk mengesahkan kedudukan bayi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

PEMBEDAHAN CAESAREAN SELAMATNYA NYAWA

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Dalam keadaan tertentu, ada wanita yang tidak dapat melahirkan bayi menerusi proses biasa. Apabila hal ini berlaku, pembedahan Caesarean perlu dilakukan. Kaedah ini ialah pilihan terbaik bagi ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.

Walaupun komplikasi kaedah ini empat kali proses kelahiran biasa, dalam keadaan tertentu, kaedah ini perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak yang berada di dalam kandungan. Risiko lain, seperti jangkitan kuman dan komplikasi yang berkaitan, lebih tinggi berbanding dengan bersalin secara biasa.

Bagi ibu yang menghidap penyakit tertentu, pembedahan Caesarean mungkin tidak dapat dielakkan. Sebagai contohnya, penyakit praeklampsia yang teruk ketika hamil atau keadaan bayi yang tidak sihat di dalam kandungan. Dalam hal ini, jika proses kandungan diteruskan hingga sembilan bulan, kesihatan ibu dan anak mungkin berisiko. Oleh sebab itu, pembedahan Caesarean perlu dilakukan. Pembedahan Caesarean ialah pembedahan yang melibatkan beberapa lapisan pada dinding abdomen wanita. Lapisan kulit, lapisan otot dan dinding rahim dibuka untuk membolehkan bayi dilahirkan menerusi pembedahan ini.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

AIR KETUBAN SEMASA HAMIL PENTING

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Air ketuban atau cecair amniotik ialah cecair yang ada di keliling bayi yang sedangmembesar dan berperanan penting ketika hamil. Air ketuban terdiri daripada 98% air dan2% bahan elektrolit, protein, karbohidrat, lemak, fosfolipid, urea, hormon (gonadotrofinkorion manusia, laktogen plasenta manusia, estrogen, progesteron, prolaktin), enzim, pigmendan sel janin, seperti rambut dan verniks kaseosa.

Sepanjang sembilan bulan bayiberada di dalam rahim ibunya, cecairyang dikenali sebagai air ketubanini mengelilingi dan melindungi bayidaripada pelbagai masalah. Airketuban ini bertindak seperti kusyenyang melindungi bayi daripadatrauma, hentakan dan gegaran, sertamenghalang tali pusat bayi daripadamemberikan tekanan, seterusnyamengurangkan bekalan oksigen kepadabayi.

Selain itu, air ketuban juga membantu memastikan suhu yang bersesuaian di dalam rahim, melindungi bayi daripada jangkitan, memberikan ruang kepada bayi untuk bergerak dengan aktifnya, membantu membina tulang dan otot bayi, membantu perkembangan sistem penghadaman atau pencernaan dan membantu sistem pernafasan bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana bayi menghadamkan makanan dan bernafas menerusi paruparunya. Oleh sebab itu, air ketuban ini amat penting kepada bayi yang berada di dalam kandungan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Julai 2018.

KEHAMILAN KEMBAR

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Kehamilan kembar ialah kehamilan yang janinnya lebih daripada satu. Berdasarkan rumus Hellin, kebarangkalian kehamilan kembar dua ialah satu dalam 80 kehamilan, kembar tiga ialah satu dalam 80 kehamilan berganda dua, kembar empat pula ialah satu dalam 80 kehamilan berganda tiga dan seterusnya. Secara umumnya, kehamilan kembar terbahagi kepadadua jenis, iaitu monozigotik dan dizigotik.

Kembar monozigotik ialah kembar yang berasal daripada satu ovum (telur) yang disenyawakan bersama-sama dengan satu sperma (benih lelaki), kemudian membesar dan terpisah menjadi dua janin. Kembar ini dikenali sebagai kembar seiras kerana mempunyai genetik atau baka yang sama. Kembar jenis ini mungkin mendapat janin yang mempunyai jantina dan paras rupa yang sama.

Ada kes kembar monozigotik ini tidak terpisah sepenuhnya dan kekal melekat pada sebahagian anggota badan ketika dilahirkan. Kembar ini dikenali sebagai kembar siam. Istilah ini diambil bersempena dengan sepasang kembar siam, iaitu Chang dan Eng Bunker. Kembar siam pertama ini dilahirkan pada 11 Mei 1811 di Thailand.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Jun 2018.