Empayar Perikanan Diluaskan

Oleh: Fatin Syazana Zulkafali

SERDANG, 1 Disember 2018 – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA) yang berteraskan produk dan teknologi terbaik negara menjadi tumpuan kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara negara teratas dalam senarai kedudukan negara maju.

Diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), MAHA menyasarkan lebih daripada 3.5 juta pengunjung dengan pelbagai pameran dan hasil inovasi terbaik dari seluruh negara. Program MAHA ini diadakan pada
22 November hingga 2 Disember 2018.

Pada hari ke-10 program ini berlangsung, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Teknikal Penerbitan DOF di Laman Perikanan, MAEPS. Majlis ini dirasmikan oleh YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang diiringi oleh YBhg. Dato’ Haji Munir Haji Mohd. Nawi, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: AKTIVITI

Jering Sumber Bateri Kereta Nano

Oleh: Ramli Abdul Halim

Jering ialah tumbuhan yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain dijadikan sebagai ulam, jering mempunyai khasiat dari segi perubatan. Yang sebenarnya, ada satu lagi kegunaan jering dalam bidang teknologi. Jering dapat berfungsi sebagai bahan utama dalam penghasilan bateri kereta nano, iaitu sebagai elemen katod. Apabila jering diproses dengan menggunakan kaedah tertentu, jering mampu bertindak sebagai elektrod katod di dalam bateri kereta nano.

Kajian tentang kegunaan jering ini dilakukan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, serta tiga pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysian Spanish Institute (MSI). Pihak ini mencipta bateri kereta nano dengan menjadikan jering atau Archidendron Pauciflorum sebagai bahan utamanya.

Bateri yang dihasilkan ini memenangi hadiah utama dalam Pertandingan Reka Bentuk Inovasi Malaysia 2018 bagi kategori Trak Keysight pada bulan Julai lalu. Ketahanannya terbukti apabila kereta ini mampu bergerak pada jarak 3000 kilometer tanpa perlu dicas secara kerap.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: INOVASI

Dewan Kosmik Terus Ungguli Anugerah PERSAMA 2018

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

KOTA KINABALU, 29 November 2018 – Dewan Kosmik tidak menoleh ke belakang apabila terus mengungguli Anugerah PERSAMA 2018 bagi kategori Rencana Popular. Bagi tahun kedua berturut-turut, Dewan Kosmik hampir menyapu bersih semua hadiah yang dipertandingkan apabila empat artikelnya dipilih sebagai pemenang daripada lima hadiah yang ditawarkan.

Bagi kategori Rencana Popular ini, Dewan Kosmik, menerusi artikel “Gasing Bukan Sekadar Lemparan” memenangi Hadiah Utama. Artikel ini ditulis oleh Noor Azie Azura Mohd. Arif dan Chong Chee Jiun yang diterbitkan dalam keluaran Bil. 7 2017. Artikel ini menerangkan konsep putaran gasing yang boleh dikira tempoh pusingan dan keupayaan pusingannya.

Dalam kategori ini juga, tiga hadiah sanjungan dimenangi oleh Dewan Kosmik menerusi artikel “Nombor Fibonacci pada Alam” (Dewan Kosmik Bil. 5 2017) yang ditulis oleh Nurisya Mohd. Shah, “Masjid Kobe Tahan Gempa” (Dewan Kosmik Bil. 12 2017) yang ditulis oleh Mohd. Zaid Yusof dan “Hakikat Warna Berubah” (Dewan Kosmik Bil. 12 2017) yang ditulis oleh Shahrudin Zakaria. Hanya satu Hadiah Sanjungan tidak dapat dimiliki oleh Dewan Kosmik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: AKTIVITI

SKSM2018 Himpunkan Penyelidik Matematik

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

KOTA KINABALU, 28 November 2018 – Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Simposium Kebangsaan Sains Matematik (SKSM) 2018 di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu, Sabah. Program yang berlangsung dari 28 November hingga 29 November 2018 ini ialah program tahunan Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dengan kerjasama universiti awam di Malaysia.

Simposium ini menghimpunkan cendekiawan sains dan matematik dari dalam negara dan luar negara untuk membentangkan hasil penyelidikan terkini. SKSM2018 ialah wadah besar bagi ahli sains dan matematik daripada pelbagai varian bidang di Malaysia untuk berkumpul, bertukar fikiran dan menjalinkan hubungan kerjasama demi kebaikan bersama, khususnya untuk memartabatkan ilmu sains dan matematik.

Pada edisi yang ke-26 ini, UMS dipilih sebagai tuan rumah untuk menganjurkannya. Semua kertas kerja penuh dalam bahasa Inggeris yang diterima akan diwasit dan diterbitkan di ASM Science Journal (ISSN: 1823-6782) yang berindeks Scopus. Penerimaan ini adalah berdasarkan cadangan pewasit.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: AKTIVITI

TPS NUKLEAR MALAYSIA 2018

Oleh: Fatin Syazana Zulkafali

Bangi, 30 Oktober 2018 – Program Technology Preview and Showcase (TPS) 2018 diadakan dengan jayanya pada 30 Oktober hingga 2 November 2018, bertempat di Agensi Nuklear Malaysia. Sebanyak 6000 orang turut serta dalam program yang dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Program ini ialah gabungan tiga aktiviti utama tahunan Agensi Nuklear Malaysia, iaitu Seminar Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) 2018, Hari Inovasi 2018 dan Hari Pelanggan 2018. Program TPS ini ialah platform bagi penyelidik untuk mengetengahkan hasil R&D dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan dalam pasaran, di samping memperkenalkan kemudahan penggunaan makmal, loji dan pusat khidmat.

Menurut Profesor Madya Dr. Ramzah, program perkhidmatan ini dapat melonjakkan perkembangan industri di Malaysia, sekali gus memperkasakan hala tuju bidang penyelidikan ke arah pengkomersialan produk, sama ada pada peringkat tempatan atau luar negara.

Selain itu, program ini juga dapat menjalinkan hubungan antara Agensi Nuklear Malaysia dengan pihak luar, seperti industri dan pelanggan, pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi, serta masyarakat sejagat. Sebagai contohnya, pada tahun ini, tiga buah buku berjaya diterbitkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: AKTIVITI

FESTIVAL SAINS PETROSAINS

Oleh: Azura Daud dan Imanizah Selamat

Kuala Lumpur, 14 September 2018 – Festival sains terbesar di Malaysia yang dianjurkan oleh Petrosains, The Discovery Center, dilancarkan dan dibuka secara rasmi oleh Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh di Esplanade, Taman KLCC.

Festival ini ialah satu daripada inisiatif utama Petrosains untuk mempopularkan pembelajaran sains menerusi platform yang menarik, berteraskan pendidikan dan berimpak tinggi. Hal ini juga sebahagian daripada komitmen Petrosains untuk memupuk pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang lebih bermakna.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Petrosains, Datuk Hashim Wahir, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Urus Harta, Puan Zahariah Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains dan Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan, PETRONAS, serta wakil daripada rakan kerjasama Festival Sains Petrosains 2018.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: AKTIVITI

PERTANDINGAN INOVASI DIGITAL PERTAMA

Oleh: Siti Mariam Mohammad Iliyas dan Munirah Onn

Johor Bahru, 28 Ogos 2018 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor memecahkan tradisi pertandingan inovasi di Malaysia dengan menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk, Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Digital Pertama 2018. Pertandingan yang menggunakan platform digital ini memudahkan penyertaan peserta, iaitu dengan hanya menghantar video tentang produk inovasi yang berdurasi tiga minit.

Video ini kemudiannya dipilih untuk disenarai pendek sebagai pemenang Terbaik daripada Yang Terbaik. Program ini diadakan di Dewan Jubli Intan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan disertai oleh pelbagai institusi pendidikan dan industri dalam usaha untuk mempromosikan pembudayaan inovasi dan reka cipta kreatif.

Pertandingan ini menyaksikan projek PATA GOS dari Sekolah Menengah Kebangsaan Palong Timur, Segamat, Johor dipilih sebagai pemenang utama bagi anugerah Merit Kecemerlangan dan memenangi hadiah utama, iaitu wang tunai RM10 ribu berserta hadiah iringan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: AKTIVITI

PRODUK INOVASI BERTARAF GLOBAL

Oleh: Shukor Sanim Mohd. Fauzi

Riau, 7 Ogos 2018 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus meraih pengiktirafan dalam bidang inovasi apabila meraih kejayaan besar dalam Seminar Inovasi dan Kreativiti Malaysia-Indonesia-Thailand Antarabangsa (iMITSIC 2018) Kedua. Programi MITSIC 2018 ini disertai oleh pensyarah, pelajar dan staf UiTM Cawangan Perlis. Program ini diadakan di Pusat Kegiatan Mahasiswa, Universitas Riau, Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Dalam program ini, 15 pingat emas, 18 perak dan lima gangsa berjaya diraih oleh UiTM Cawangan Perlis. Kejayaan ini membuktikan bahawa warga UiTM Cawangan Perlis mampu menghasilkan produk inovasi yang bertaraf global dan berupaya bersaing pada peringkat tertinggi, serta relevan untuk dikomersialkan.

Profesor Madya Dr. Mohd.Azlan Mohd. Ishak, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Perlis, turut bersama-sama dengan kontinjen ketika iMITSIC 2018 berlangsung pada 6–8 Ogos 2018. Beliau melahirkan rasabangga atas pencapaian terbesar yang diraih oleh kontinjen UiTM Cawangan Perlis di persada antarabangsa.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: AKTIVITI

PATRIOT MELAYU DALAM ARMyPat

Oleh: Mudiana Mokhsin@Misron

Dalam era teknologi yang makin berkembang, generasi yang dilahirkan pada tahun 2000 dan ke atas yang tergolong dalam Gen Z di Malaysia makin kurang berminat untuk mengetahui perjuangan patriot Melayu. Hal ini disebabkan oleh medium penyampaian kandungan yang konvensional dan bersifat tidak interaktif. Kebanyakan sekolah menggunakan buku teks, video atau simulasi di dalam kelas untuk memberikan gambaran tentang perjuangan patriot Melayu.

Berdasarkan senario ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik merangkap Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Universiti Teknologi MARA, bersama-sama dengan pelajar seliaannya mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai ARMyPat (dahulunya ARMyF) untuk membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Aplikasi berasaskan platform mudah alih Android ini dibangunkan supaya golongan muda berminat untuk mempelajari perjuangan patriot Melayu dengan menggantikan maklumat berbentuk teks atau imej statik ke dalam kaedah pembelajaran yang lebih interaktif.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: INOVASI

FORUM LAUTAN DAN PERUBAHAN IKLIM

Oleh: Husna Nadiah Hussin

SEREMBAN, 25 JULAI 2018 – Forum Lautan dan Perubahan Iklim: Selamatkan Bumi Kita berjaya diadakan di SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban. Forum ini dianjurkan oleh SMK Tunku Ampuan Durah (SMKTAD) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Persatuan Sains Lautan Malaysia (MSMS) dan SM Sains Rembau (SEMESRA).

Forum ini melibatkan 500 orang pelajar sekolah menengah. Antaranya termasuklah daripada SMK Dato’ Haji Mohd Redza, SMK Warisan Puteri, SMS Tuanku Munawir (SASER), SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS), SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Seri Ampangan dan SMK King George V.

Ketua Panitia Sains SM Sains Rembau, Dr. Rahayu Johari menjadi moderator dalam forum ini. Ada tiga orang ahli panel dalam forum ini. Yang pertamanya, Profesor Madya Dr. Siti Aisyah Haji Alias, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kebangsaan Antartika, Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya. Yang keduanya, Kapten Zaharuddin Mohd. Maideen, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi Sains dan Teknologi, Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC). Yang ketiganya, Profesor Dr. Lim Phaik Eem, Ketua Bioteknologi Marin Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: AKTIVITI