Kepercayaan dalam Talian Perlu Dibina

Oleh Maslin Masrom


Percaya ialah satu elemen utama bagi sekitaran dalam talian. Pengguna laman web amat menitikberatkan elemen ini sebelum memaparkan dan memperoleh sebarang maklumat, perkhidmatan atau produk kepada atau daripada pengguna lain. Kebanyakan pengguna ini terdiri daripada pereka bentuk, pembangun, perunding dan pemasar laman web.

Kewujudan interaksi antara percaya dalam diri dengan laman web adalah penting bagi memastikan kejayaan hasil interaksi itu. Penyelidikan yang berkaitan dengan percaya dapat ditemukan dalam bidang falsafah, pengurusan, pemasaran, ergonomik, interaksi antara manusia dengan komputer, psikologi industri dan elektronik-dagang.

Kepercayaan dalam talian ialah suatu perasaan percaya atau menaruh kepercayaan, iaitu seseorang percaya bahawa pihak lain mempunyai satu atau lebih ciri yang bermanfaat kepada dirinya. Contohnya, dalam konteks e-dagang pembeli mengharapkan penjual dalam talian sanggup dan mampu memenuhi keperluan pembeli, jujur dalam transaksi dan menepati semua janji.

Cynthia L. Corritore, Beverly Kracher dan Sussan Wiedenbeck dalam artikel Online Trust: Concepts, Evolving Themes, a Model, keluaran jurnal Int. J. Human-Computer Studies terbitan tahun 2003 mendefinisikan kepercayaan dalam talian sebagai suatu sikap yakin dengan keadaan dalam talian yang berisiko dan mudah terdedah pada bahaya.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Komputer

Hantar Maklum Balas Anda