Toxoplasma gondii Tidak Terhapus

Oleh Noor Zarina Abd. Wahab

Toxoplasma gondii ialah parasit Apicomplexa yang ada di seluruh dunia. Parasit ini dapat menjangkiti vertebrata berdarah panas, termasuklah manusia dan menyebabkan penyakit toksoplasmosis. Ahli keluarga kucing (Felidae) pula berfungsi sebagai takungan utama (reservoir) bagi parasit ini.

Pelbagai spesies burung dan mamalia berfungsi sebagai perumah perantara dalam kitar hidup Toxpoplasma gondii. Kucing memainkan peranan penting dalam penyebaran penyakit toksoplasmosis. Kucing dapat dijangkiti apabila tikus, burung atau haiwan kecil lain yang dijangkiti dimakannya. Trofozoit di dalam daging tercemar dilepaskan di dalam usus kucing dan kitar seksual (pembiakan berjantina) berlaku pada sel epitelium yang melapisi usus kecil.

Setelah itu, parasit ini keluar daripada badan kucing melalui najis yang mengandungi oosista tidak berdaya jangkit (oosista tidak berspora). Parasit ini hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop dalam masa antara dua hingga tiga minggu selepas jangkitan. Oosista yang dibebaskan di sekitaran menerusi najis kucing ini mengambil masa antara satu hingga lima hari bagi menjadi oosista berdaya jangkit (oosista berspora).

Oosista ini berukuran antara 9 – 11 μm lebar dan antara 11 – 14 μm panjang dan mengandungi dua sporosista yang setiap satunya mempunyai empat sporozoit. Di dalam tanah lembap, parasit ini kekal berdaya jangkit bagi tempoh lebih daripada satu tahun.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Mikrobiologi

Hantar Maklum Balas Anda