Jangkitan Yis pada Faraj

Oleh Doblin Sandai

Jangkitan yis pada faraj ialah kerengsaan pada faraj yang berpunca daripada yis oportunis yang tergolong dalam genus Candida. Spesies yis yang paling biasa menjangkiti faraj ialah Candida albicans dan merupakan agen utama bagi penyebab jangkitan yis pada faraj. Kira-kira 75 peratus wanita mempunyai sekurang-kurangnya satu episod jangkitan yis pada faraj sepanjang hayat mereka. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kehamilan dan diabetes yang tidak terkawal meningkatkan risiko jangkitan penyakit ini.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat pada tahun 2014, ada kira-kira 150 spesies Candida dan lebih daripada 20 spesies Candida yang dapat menyebabkan jangkitan pada manusia. C. albicans ialah spesies yang paling penting, selain spesies lain yang mempunyai kepentingan klinikal, seperti C. glabrata, C. parapsilosi, C. krusei dan C. dublienensis.

Biasanya, spesies ini berperanan sebagai komensal pada kulit, salur genital dan salur gastrousus. Walau bagaimanapun, ada juga sesetengah yis yang mengeksploitasi sekitaran perumah dan menyebabkan penyakit pada manusia. Insiden jangkitan yis meningkat dengan ketara sejak awal era 1980-an disebabkan oleh kemajuan dalam pengurusan penjagaan kesihatan pesakit kritikal.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan Wanita

Hantar Maklum Balas Anda