Nasib yang Serupa

Oleh Lee Keok Chih

Sebelum tiba di sini dan berjaya hidup dalam keadaan yang tenteram dan tidak diancam, Goh memang sentiasa hidup sebagai orang pelarian. Nasib baik, ketika melarikan diri menggunakan perahu, perahu Goh terhempas dan dia diselamatkan oleh orang tua yang dikenali sebagai nenek Abargil. Goh disuruh tinggal di rumahnya. Goh berasa senang dan selesa menerima jasa baik nenek Abargil kerana nenek Abargil tidak banyak bertanya, termasuklah tentang asal usul Goh dan sebab Goh tiba di situ.

Goh masih ingat, pada petang itu, setelah perahunya terhempas di sungai kerana terlanggar batu besar di tengahtengah sungai dan dia terkapai-kapai hanyut ke tebing, nenek Abargil muncul dan sempat mencapai tangan Goh sebelum Goh hanyut di bahagian hilir sungai. Goh ditarik ke atas rakit di tepi tebing.

Di situ, nenek Abargil menepuk-nepuk belakang Goh supaya Goh memuntahkan air yang masuk ke dalam mulut dan perutnya. Goh terbatuk beberapa kali. Setelah pulih daripada keadaan panik, dia nampak wajah seorang perempuan tua di depannya. Terlalu banyak kedutan memanjati wajah perempuan tua itu. Entah berapa umurnya. Perempuan itu memperkenalkan diri, “Nak, panggil aku nenek Abargil.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 4 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Cerpen

Hantar Maklum Balas Anda