Kacip Fatimah Pelbagai Khasiat

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain dan Intan Idiana Hassan

Menurut pengamal perubatan tradisional, semua bahagian pokok kacip fatimah berkhasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional. Akar pokok kacip fatimah dipercayai paling tinggi khasiatnya. Daun kacip fatimah digunakan sebagai air mandian ibu bersalin, sementara batang dan akarnya dijadikan jamu dan ubat periuk.

Jenis pokok kacip fatimah yang biasa digunakan pula ialah jenis yang bertangkai pendek, iaitu Labisia pumila varian alata dan Labisia pumila varian pumila kerana dikatakan lebih berkhasiat berbanding dengan pokok kacip fatimah yang bertangkai panjang, iaitu Labisia pumila varian lanceolata.

Biasanya, bagi tujuan rawatan, kacip fatimah dicampurkan bersama-sama tumbuhan berkhasiat atau herba lain bagi memberikan kesan yang cepat dan pelbagai. Antaranya termasuklah buah manjakani, daun hempedu bumi dan daun mas cotek (Ficus deltoidea).

Realitinya, resipi bagi campuran ramuan dan sukatan ini berbeza-beza antara pengamal perubatan tradisional berdasarkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah, jika ada pengamal perubatan tradisional mempunyai pelanggan tetap yang setia menggunakan produk ini. Pengguna pula percaya bahawa produk ini dapat menyihatkan badan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Hantar Maklum Balas Anda