Khasiat Kacip Fatimah Mitos atau Realiti?

Oleh Nik Hazlina Nik Hussain dan Intan Idiana Hassan

Menurut pengamal perubatan tradisional Melayu, pokok kacip Fatimah ada banyak khasiat. Ada kalanya, khasiat ini terbukti dan begitulah sebaliknya. Malah, sesetengah amalan ini kelihatan tidak praktikal dan diragui. Hal ini disebabkan oleh setiap amalan yang dilakukan tidak dapat dikaitkan dengan teorinya secara terperinci.

Setiap pengamal perubatan memperoleh ilmu berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang diwarisi sejak turun-temurun daripada nenek moyang masing-masing. Ada sesetengah pengamal yang mempelajari ilmu ini daripada orang yang berpengalaman. Hal ini menyebabkan setiap pendapat tidak disandarkan pada bukti yang kukuh.

Oleh sebab itu, kajian saintifik yang terperinci perlu dilakukan supaya keberkesanan, keselamatan dan kualiti produk ini dibuktikan. Malah, hal ini membolehkan setiap produk kacip Fatimah diterima oleh masyarakat. Data kajian yang kukuh, maklumat yang didokumentasikan dan keberkesanan yang dibuktikan dapat dijadikan sandaran bagi produk kacip Fatimah.

Kebanyakan kajian yang dilakukan berfokuskan hanya pada pokok kacip Fatimah jenis varian alata dan varian pumila. Hal ini disebabkan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu lebih gemar menggunakan pokok jenis ini berbanding dengan jenis varian lanceolata dalam pengubatan mereka. Menurut pengamal perubatan tradisional Melayu, Labisia pumila varian lanceolata hanya digunakan bagi memulihkan tenaga batin lelaki.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Botani

Hantar Maklum Balas Anda