Cuda

Oleh Adawiah Zainal

“Baiklah, emak. Dah selesai nanti Zel pulang.” Dzelda memberikan jawapan balas supaya rasa gundah pada hati emak hilang.

Tiada emak yang tidak risau, jika anak gadisnya masih berada di pejabat apabila waktu menginjak pukul 10.00 malam. Pasti emak mengomel dengan walid di rumah kerana membiarkan Dzelda bekerja hingga lewat malam. Manakan tidaknya, syarikat itu milik walid tetapi anak kandung dibiarkan berhempas-pulas di pejabat.

Dzelda menamatkan penulisan kertas cadangan dengan tanda noktah di hujung perenggan terakhir. Dia menarik nafas lega. Cukuplah seminggu dia bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan syarikat yang bakal dihantar pada hujung minggu ini. Esok dia perlu membentangkan kertas cadangan itu di hadapan lembaga pengarah syarikat, termasuklah ayahnya sendiri sebagai penilaian akhir.

Cita-cita asal Dzelda adalah untuk menjadi seorang doktor perubatan. Dzelda mempunyai cita-cita yang tinggi, iaitu ingin menjadi kepunyaan masyarakat apabila bergelar seorang doktor nanti. Kerja amal dan sukarela menjadi darah dagingnya sejak di bangku sekolah. Dia mewarisi sifat emaknya yang rajin menyumbang bakti pada masyarakat keliling dari segi tenaga dan material.

Dzelda memahami tanggungjawab yang digalas oleh Locus. Biarpun teknologi yang ada serba canggih tetapi manusia masih diperlukan sebagai perantara kerana teknologi mempunyai beberapa kelemahan. Ya, manusia bukan Tuhan yang bersifat Maha Sempurna.

Pada bulan lepas sawah seluas 1000 hektar diserang oleh musuh. Mereka melemparkan serangga yang merosakkan sawah padi di ladang Dzul Hijau Benih. Musnah bunting padi yang hampir matang itu digigit serangga hingga sukar mengeluarkan hasil padi yang banyak. Hal ini bukanlah suatu tanda yang baik kerana bunting padi yang lebih berisi memberikan padi yang berhasil tinggi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Cerpen

Hantar Maklum Balas Anda