KEISTIMEWAAN MATAHARI

Kebanyakan bintang mempunyai saiz yang hampir sama dengan Matahari. Namun begitu, ada sesetengah bintang, saiznya lebih besar dan cahayanya lebih cerah berbanding dengan Matahari. Oleh sebab kedudukan bintang sangat jauh di ruang angkasa, bintang hanya dilihat oleh manusia seperti satu titik cahaya, walaupun dilihat melalui teleskop terbesar di dunia.

Kebanyakan orang tidak tahu bahawa satu daripada berjuta-juta bintang yang bertaburan di ruang angkasa ialah Matahari. Matahari ialah bintang yang paling dekat dengan Bumi. Oleh sebab itu, saiz Matahari dilihat oleh manusia lebih besar berbanding dengan bintang lain, walaupun Matahari dikelaskan dalam kumpulan bintang yang kerdil oleh pakar astronomi. Dengan ini juga, cahaya dan kepanasan Matahari dapat dirasai oleh manusia di Bumi.

Sebagai bintang yang paling hampir dengan Bumi, Matahari ada keistimewaannya yang tersendiri.

KeistimewaanKeistimewaannya diterangkan secara terperinci oleh Mahamarowi Omar dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Putaka yang berjudul Matahari Bintang Istimewa. Bukan sahaja maklumat yang bermanfaat tentang Matahari didedahkan kepada pembaca, ilustrasi, gambar sebenar Matahari dan bintang lain yang bertaburan di Bimasakti turut dimuatkan dalam buku ini. Hal ini menyebabkan buku ini lebih menarik untuk dibaca.

Di samping memberikan cahaya, peranan lain Matahari dalam perkembangan tamadun manusia dihuraikan oleh penulis dalam buku ini. Antaranya termasuklah sebagai objek penyembahan pada zaman pemerintahan Firaun dan tamadun Sumerian.

Keunikan Matahari yang berupaya menerangi Bumi menyebabkan manusia berfikir sekali gus melahirkan cendekiawan, terutamanya dalam bidang astronomi. Antara cendekiawan yang mula-mula menyatakan bahawa Matahari sebuah batu merah yang menyala termasuklah Anaxagoras, ahli astronomi Greek. Selain itu, banyak lagi penemuan dan kajian yang dilakukan oleh tokoh astronomi yang terkenal dimuatkan dalam buku ini.

Berdasarkan fakta dan kajian yang lengkap tentang Matahari, buku ini dapat dijadikan sebagai rujukan oleh pelajar, pengkaji astronomi dan peminat astronomi, khususnya yang berkaitan dengan Matahari. Tidak rugi jika buku ini dimiliki oleh sesiapa sahaja yang ingin merasai serta menghayati kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah SWT. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi buku ini, peranan Matahari kepada manusia di Bumi dapat difikirkan dan dipelajari.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

Hantar Maklum Balas Anda