KAEDAH PENGURUSAN UBAT YANG TEPAT

Secara biasanya, ubat diambil untuk keredaan, pencegahan atau penyembuhan penyakit tertentu. Ubat bermanfaat jika diambil dengan cara yang betul, seperti yang dipreskripsikan oleh doktor atau didispensi oleh ahli farmasi. Namun begitu, ubat dapat menyebabkan pelbagai masalah sehingga menjejaskan matlamat terapi ubat.

Lantaran itu, buku Mengurus Terapi Ubat Anda nukilan Azmi Sarriff diterbitkan. Menerusi buku ini, bahan bacaan, terutamanya dari aspek pengurusan terapi ubat yang jarang-jarang ditemukan dalam pasaran, boleh didapati dengan mudahnya oleh pengguna. Buku ini penting bagi pengguna yang memerlukan maklumat yang berkaitan dengan kaedah pengurusan ubat yang tepat.

Sebelum ubat diambil, kesan ubat terhadap tubuh pesakit perlu diketahui oleh pesakit. Antara kesan ubat termasuklah kesan terapeutik, kesan sampingan, kesan mudarat ubat, kesan alahan dan kesan idiosinkrasi Pengurusanatau paradoksikal. Selain itu, aspek yang perlu diambil berat oleh pesakit ialah kefahaman terhadap proses terapi ubat. Hal ini penting supaya ubat yang betul dan dos yang tepat dalam pelaksanaan terapi ubat diterima.

Di samping itu, masalah terapi ubat perlu difahami oleh pesakit. Masalah terapi ubat ialah masalah pesakit yang berkaitan dengan pengambilan dan penggunaan ubat. Masalah berlaku apabila ubat, sama ada yang dipreskripsi, didispensi atau diperoleh secara bebas, diambil atau digunakan. Oleh hal yang demikian, penentuan indikasi ubat perlu diutamakan supaya ubat yang diambil berkesan, selamat dan mudah digunakan.

Yang menariknya, dalam buku setebal 193 halaman ini, turut dibicarakan status halal ubat. Persoalan yang berkaitan dengan status halal ubat menjadi perhatian masyarakat, terutamanya bagi orang Islam. Berdasarkan maklumat yang dimuatkan oleh penulis dalam buku ini, usaha membantu industri farmaseutikal tempatan dan antarabangsa dilakukan dari segi pengeluaran ubat halal.

Selain keterangan yang jelas dan padat, jadual dan gambar disediakan bagi memudahkan kefahaman pembaca. Menerusi gambar ini, contoh dan jenis ubat yang sepatutnya diketahui oleh pengguna dapat dilihat. Oleh sebab itu, sebagai pengguna yang bijak dan berilmu, buku ini perlu dimiliki supaya ketepatan terapi ubat yang dijalani oleh pesakit dipastikan. Di samping itu, tidak dinafikan bahawa buku ini dapat dijadikan rujukan oleh pelajar dan pengamal perubatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Buku

Hantar Maklum Balas Anda