DI BALIK ZIYAD

Kepesonaan malam ini terserlah dengan bintang yang bertaburan di dada langit. Bintang ini bersinar dengan bentuk tersendiri yang mungkin hanya difahami oleh pengkaji dan pencinta ilmu astrologi.

Jika ditanya hal itu kepadaku, apalah yang aku tahu tentang pengertian di balik taburan bintang yang berkelip itu? Aku cuma pengkaji hidupan marin. Aku hanya mengenali dan menghadami anatomi dan fisiologi ikan paus, sotong kurita, tapak sulaiman dan kuda laut.

Jika ditanya perihal bintang kepada Dean, matanya turut bersinar apabila menjawab soalan yang ditanya. Dia yang bijaksana menerangkan simbolik di balik buruj yang hanya aku ketahui beberapa nama saja, seperti Hercules, Cygnus, Lyra, Bootes dan Aquila. Nama itu pun aku ketahui melalui cerita Dean.

Menurut Dean, jika aku melihat dada langit utara, bintang yang paling terang ialah Arcturus. Menurut Dean lagi, pandanglah dada langit selatan kerana di tempat itulah Scorpio, Sagitarius, Centaurus dan Crux berkelip.

Dean selalu mengusik aku supaya berterima kasih kepadanya kerana memberikan peluang dan harapan kepada generasi masa ini melihat bintang di dada langit kelam, seperti zaman nenek moyang dahulu.

Telah tercatat dalam sejarah dunia, Dean dan kumpulan penyelidik angkasa berjaya menemukan planet baharu, iaitu kembar Bumi. Bumi, rumah nenek moyang kami dahulu kian tua, hampir lumpuh, kian nyanyuk dan perlu dipulihkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Cerpen

Hantar Maklum Balas Anda