APLIKASI KAEDAH SINTESIS TEMPLAT

Pada waktu ini, Malaysia melonjak ke arah revolusi teknologi nano. Hal ini bermakna pada tahun 2020, penghasilan produk berasaskan teknologi termaju ini dapat diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai bidang. Sebenarnya, idea teknologi nano ini diutarakan lebih daripada 50 tahun yang lalu oleh ahli sains dan pemenang hadiah Nobel, iaitu Richard P. Feynman.

Dalam persidangan ahli Persatuan Fizik Amerika pada tahun 1959, Richard P. Feynman menyampaikan syarahan yang bertajuk “There’s Plenty of Room at the Bottom”, (masih banyak ruang yang belum diteroka dalam skala kecil). Dalam syarahan ini, beliau mencadangkan bidang baharu bagi pemanipulasian unit terkecil bagi suatu bahan, iaitu atom. Peristiwa ini menjadi titik permulaan bagi perbincangan saintifik pertama dalam teknologi nano.

Perkataan teknologi nano dapat didefinisikan sebagai kajian dan fabrikasi bahan, alat atau peranti pada saiz nano (halus atau kecil) bagi kegunaan atau manfaat manusia sejagat. Teknologi ini dilihat dapat menjanjikan penerokaan yang cukup berpotensi tinggi. Hal ini termasuklah daripada komputer yang menyaingi kuasa pemprosesan otak manusia, komunikasi dan storan data hinggalah motor molekular, peranti selular dan ubat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda