KEHAMILAN TINGKATKAN BERAT BADAN

Setiap wanita perlu menerima hakikat apabila berat badan bertambah ketika hamil. Pada waktu ini, berat badan danbentuk fizikal membesar dan berubah. Hal ini disebabkan olehkesan tumbesaran bayi di dalam kandungan.
Berat badan ibu hamil meningkat dengan ketaranya menjelang waktu kelahiran. Lebih kurang satu per tiga daripada berat badan tambahan ini ialah berat bayi, plasenta (uri) dan air ketuban (cecair amniotik). Ketika lahir, secara biasanya, berat bayi ialah 3.2 kg bagi perempuan dan 3.4 kg bagi lelaki.
Berat cecair amniotik yang menyokong dan menampung bayi ialah 0.8 kg. Dua pertiga berat yang berlebihan pula disebabkan oleh perubahan yang berlaku pada badan ketika hamil.
Secara anggarannya, hal ini berlaku kerana lapisan otot pada uterus (rahim) membesar secara dramatik dan beratnya bertambah lebih kurang 0.9 kg. Selain itu, isi padu darah juga bertambah dan beratnya meningkat sebanyak 1.2 kg. Lebihan cecair dalam badan ibu hamil pula sebanyak 1.2 kg. Kemudian, berat payudara meningkat sebanyak 0.4 kg dan ibu hamil menyimpan lemak lebih kurang empat kilogram, untuk membekalkan tenaga ketika menyusukan bayi.
Menjelang hujung kehamilan, berat badan ibu hamil mungkin bertambah lebih kurang 12.5 kg berbanding dengan sebelum hamil. Walau bagaimanapun, nilai ini hanya anggaran pertambahan berat secara kasar. Oleh sebab itu, indeks jisim tubuh ibu hamil meningkat semasa hamil.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan Wanita

Hantar Maklum Balas Anda