Kacang-kacang Kawal Aras Glukosa

Oleh: Chee Beng Jin

Pokok kacang-kacang atau Aegiceras corniculatum sejenis tumbuhan yang renek atau bersaiz sederhana, yang dapat mencapai ketinggian lebih kurang 6 m. Pokok ini mempunyai daun berbentuk bujur membulat pada bahagian hujungnya dan tersusun secara berpusar atau berselang. Lapisan daunnya agak tebal, berwarna hijau berkilat pada lapisan atas dan hijau pudar pada lapisan bawah.

Bunganya berwarna putih, berbau harum dan tumbuh dalam bentuk jambak. Setiap jambak bunga terdiri daripada antara 15 – 25 kuntum bunga kecil. Buahnya berbentuk melengkung dengan hujung yang tirus tajam yang dihasilkan dalam jambak, berwarna hijau dan bertukar kepada merah apabila matang.

Kacang-kacang mempunyai taburan geografi yang luas dari India, Sri Lanka, selatan China, rantau Asia Tenggara, Australia dan Kepulauan Solomon. Habitatnya merangkumi kawasan sedikit berpasir di muara sungai, tebing yang berlumpur dan kawasan yang menghala ke daratan hutan pokok bakau.

Nama lain bagi pokok kacang-kacang ialah kachang hantu dan kuku lang laut (Malaysia), kayu sila, duduk agung, tudung laut, gigi gajah atau perpat kecil (Indonesia), batag-batag, bulali, dumanai, kindug-kindug, pipisik atau saging-saging (Filipina) dan kaya (Myanmar).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018
Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda