SLE dan Deregulasi Sistem Imun

Oleh: Nor Effa Syazuli Zulkafli

Menurut Van Parijs dan Abbas, mekanisme toleransi pusat dan periferal bertanggungjawab untuk mengendalikan keupayaan sistem imun atau sistem kekebalan tubuh untuk membezakan antara diri sendiri dengan diri bukan sendiri.

Yang sebaliknya, apabila wujud keadaan sistem imun ini tidak dapat membezakan antara diri sendiri dengan diri bukan sendiri, atau ada gangguan dalam toleransi sistem imun, hal ini dapat menyumbang pembentukan dan perkembangan penyakit autoimun. Satu daripada contoh penyakit autoimun yang disebabkan oleh kegagalan toleransi sistem imun ialah sistemik lupus eritematosus (SLE).

SLE ialah penyakit autoimun sistemik yang dicirikan oleh pembentukan banyak autoantibodi yang tidak normal. Autoantibodi yang hadir membentuk kompleks imun dengan antigen (Ag). Kompleks imun ini kemudiannya membentuk mendakan di dalam tisu. Hal ini menghasilkan manifestasi klinikal dan patologik yang dicirikan oleh kerosakan tisu setempat, keradangan atau inflamasi kronik. Akhirnya, fungsi organ, hilang. Pembentukan autoantibodi terhadap komponen nuklear di dalam sel menghasilkan manifestasi klinikal, seperti keradangan, vaskulitis dan vaskulopati, menurut Pisetsky.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik April 2018

Posted in: Sains Perubatan

Hantar Maklum Balas Anda