Jarak Buncit Beracun

Oleh AZIZAN HAJI DAUD

TUMBUHAN jarak buncit juga dikenali sebagai jarak bunting. Nama saintifiknya, Jatropha podagrica. Tumbuhan ini dalam famili Euphorbiaceae. Jarak buncit sangat

popular dijadikan tumbuhan hiasan. Penjagaan tumbuhan ini juga mudah.

Jarak buncit sejenis tumbuhan renek yang mempunyai ketinggian 30 – 90 sentimeter (cm). Nama tumbuhan ini mengambil sempena bentuk batangnya yang buncit di pangkal pokok. Batang tumbuhan ini berwarna hijau. Bunganya pula merah dan berbentuk seperti batu karang. Buahnya bujur dan mempunyai empat pangsa dengan garis pusat berukuran 2.5 – 4 cm. Buah muda jarak buncit berwarna hijau, dan perang apabila matang. Buahnya akan pecah dengan sendiri apabila matang serta mengeluarkan 2 – 3 biji berwarna hitam.

Keseluruhan tumbuhan ini beracun, terutama bijinya. Seperti spesies jarak yang lain, kandungan bahan aktif utamanya ialah curcin. Curcin sejenis toksalbumin yang boleh merosakkan sel, terutama sel ginjal apabila berada di dalam darah. Bahan lain ialah jatrofin, asid kurcanoleik, asid krotonoleik dan asid hidrosianik acid. Daunnya mengandungi saponin. Apabila berlaku kes keracunan akibat termakan bahagian pokok jarak buncit, simptom yang ditunjukkan ialah sakit perut dan kesan terbakar pada tekak setelah setengah jam termakan bijinya.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Botani

Hantar Maklum Balas Anda