DURIAN BELANDA ANTIPARASIT

Oleh: Chee Beng Jin

Durian belanda atau Annona muricata sejenis pokok renek bersaiz kecil yang dapat membesar sehingga mencapai ketinggian 10 m. Batang pokok durian belanda agak unik kerana bercabang pada bahagian pangkal. Bentuk daunnya bujur panjang dan tersusun secara berselang-seli. Permukaan atas daunnya berkilat dan berwarna hijau tua, manakala warna permukaan bawahnya hijau muda dan pudar.

Durian belanda ialah tumbuhan tidak bermusim dan dapat membiak menerusi biji benih atau keratan batang. Bunga durian belanda jenis tunggal dan terbentuk pada batang, dahan atau hujung ranting. Bunganya berwarna hijau kekuningan yang mempunyai tiga sepal yang berbentuk segi tiga dengan enam kelopak bunga.

Buah durian belanda berbentuk bujur runcing dan sedikit melengkok. Buah ini terbentuk daripada cantuman buah kecil. Warna buahnya hijau tua dan mempunyai duri pendek yang lembut. Isinya berserat, lembut dan berjus, serta ada biji yang berwarna hitam dan berkilat.

Fakta Menarik:

1. Buah durian belanda mengandungi kandungan serat dapat dimakan yang agak tinggi, iaitu 67%, dan kaya dengan sumber vitamin B (0.07 mg/100 g pulpa) dan vitamin C (20 mg/100 g pulpa).

2. Berdasarkan kajian sains makanan dan nutrisi, buah ini mempunyai banyak bahan mineral utama, seperti kalium, kalsium, natrium, kuprum, magnesium dan ferum, di dalam buahnya. Oleh sebab itu, pengambilan buah ini dapat membekalkan zat ini kepada badan manusia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda