ANTARES BINTANG RAKSASA

Oleh: Kassim Bahali

Bintang yang dilihat menghiasi langit malam kelihatan seperti titik cahaya yang sama halus, tetapi sebenarnya setiap saiz bintang ini berbeza antara satu dengan lain. Malah, ada bintang yang mempunyai saiz yang lebih besar daripada Matahari. Matahari sejenis bintang yang mempunyai diameter 139 1016 kilometer berbanding dengan Bumi yang hanya mempunyai diameter 12 742 kilometer. Bintang lain yang saiznya lebih besar daripada Matahari ialah Antares. Antares terletak di dalam buruj Scorpio atau Aqrab dalam bahasa Arab.

Buruj Scorpio ialah satu daripada buruj dalam kelompok 48 buruj yang dinyatakan oleh Ptolemy, ahli astronomi Mesir yang hidup pada abad kedua Miladi. Buruj ini boleh dilihat dengan pandangan mata kasar dan berbentuk seperti kala jengking. Buruj ini terletak berhampiran dengan galaksi Bimasakti. Bintang yang paling terang di dalam buruj Scorpio ialah Antares. Bintang Antares kelihatan berwarna kemerahan. Antares terletak pada jarak 550 tahun cahaya dari Bumi.

Kata Antares berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud saingan Marikh kerana warnanya seakan-akan sama seperti Marikh. Selain itu, ada ahli astronomi yang menyatakan bahawa kata ini bersempena dengan nama pahlawan dan penyair Arab yang terkenal pada era sebelum Islam, iaitu Antarah ibn Shaddad. Beliau antara 10 penyair yang terkenal dengan keindahan syairnya yang dikenali sebagai Mualaaqat (kalung perhiasan) kerana keindahannya seperti kalung perhiasan wanita. Sepuluh syair terbaik ini digantung pada dinding Kaabah sebagai satu penghormatan kepada penyair berkenaan.

Kedudukan Antares di langit pada awal bulan Oktober 2018.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Astronomi

Hantar Maklum Balas Anda