KHASIAT CUKA MERENTAS ZAMAN

Oleh: Noor Laili Mohamed

Cuka yang berasal daripada kata Perancis, iaitu “Vin Aigre” yang bermaksud anggur masam lebih dikenali penggunaannya sebagai bahan dalam masakan sejak zaman-berzaman. Namun begitu, yang sebenarnya, bahan penyedap rasa masakan ini juga mempunyai kegunaan yang begitu meluas dan khasiat yang tidak terhingga. Tidak sekadar menghiasi dunia kulinari atau memberikan rasa kepada hidangan di meja makan, cuka juga digunakan dalam bidang perubatan, ketenteraan, perkilangan dan pembersihan.

Cuka ialah cecair yang mengandungi asid asetik (CH3COOH) yang dihasilkan menerusi proses fermentasi atau penapaian etanol oleh bakteria. Ada dua kaedah penghasilan cuka secara komersial, iaitu proses fermentasi segera dan proses fermentasi lambat.

Menerusi proses fermentasi segera, ibu cuka, seperti kultur bakteria, digunakan pada sumber cecair. Setelah itu, udara ditambah menerusi sistem pam venturi atau turbin. Hal ini dilakukan untuk menggalakkan proses pengudaraan, seterusnya membolehkan proses penapaian berlaku lebih pantas. Cuka dapat dihasilkan dalam tempoh antara 20 jam hingga tiga hari.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Posted in: Sains Pemakanan

Hantar Maklum Balas Anda