BEREK-BEREK CARIK DADA SUKAR DIPERLIHARA

Oleh: Jasmi Abdul

Berek-berek carik dada atau “Blue-tailed bee-eater” ialah burung yang berasal daripada keluarga Miropidae. Nama saintifiknya ialah Merops philippinus. Burung berek-berek carik dada biasanya ditemukan di kawasan lapang, kawasan pertanian, sawah padi, paya rumput, hutan paya bakau dan kawasan pinggir pantai.

Burung ini juga dikenali sebagai burung beberek. Bunyinya nyaring dan garau, iaitu berek, berek, berek atau preep, preep,preep, berulang-ulang. Mungkin daripada bunyi ini, orang Melayu menamakan burung ini sebagai burung berek-berek. Burung berek-berek carik dada mempunyai warna yang agak menarik. Kepalanya berwarna coklat kemerah-merahan. Bulu pada bahagian perutnya berwarna kelabu. Ekornya pula berwarna biru. Pada bahagian matanya ada bulu berwarna hitam memanjang seakan-akan topeng.

Panjang keseluruhan berek-berekcarik dada antara 23 cm hingga 25 cm. Muncung atau paruhnya tirus dan panjang, berwarna hitam dan bengkok sedikit ke bawah. Paruh sebegini memudahkannya untuk menangkap serangga yang terbang.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda