ECLIPTA L. ANTIRADANG

Oleh: Lou Wei Cheong

Eclipta L. ialah tumbuhan herba yang dapat ditemukan pada sepanjang tahun. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai tumbuhan rumpai. Taburannya didapati di kawasan yang berketinggian hingga 6000 kaki. Tumbuhan ini turut dikenali sebagai “False Daisy”, “Bhringaraj”, “Bhangra”, “Karisilakanni”, “Maakaa”, “Kehraj”, “Karisalakanni”, “Pungjsang” dan “Yerba−De−Tago”.

Tumbuhan ini berasal daripada keluarga Asteraceae dan mempunyai taburan yang luas di India, Sri Lanka, Nepal, China, Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Brazil. Tumbuhan ini biasanya ditemukan di kawasan tempat pembuangan, tempat terbiar, tepi jalan, kawasan berpaya, kawasan belukar, kawasan padi, kawasan berbukit dan di tempat aliran air serta tangki.

Spesies tumbuhan ini tumbuh dengan cara tersebar luas dan menegak. Ketinggiannya dapat mencapai hingga tiga kaki. Tumbuhan ini digunakan sebagai ubat tradisional di kawasan tropika dan subtropika, terutamanya di Selatan Amerika, Asia dan Afrika. Nama genus ini berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud kekurangan, iaitu merujuk buahnya yang tidak mempunyai bulu halus.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: Sains Tumbuhan

Hantar Maklum Balas Anda