RAMBUT BUKTI JENAYAH

Oleh: Anizah Mahmod

Satu daripada bahan bukti yang dapat ditemukan di tempat jenayah ialah rambut. Secara puratanya, rambut pada kepala manusia gugur antara 50 helai hingga 100 helai sehari. Hal ini memungkinkan rambut tertinggal dilokasi yang menjadi tempat seseorang itu berada, seterusnya dapat diambil untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

Rambut dapat dijadikan sebagai bukti forensik yang baik kerana sifatnya yang kuat dan terbina dengan baiknya. Rambut dapat bertahan dalam tempoh yang lama walaupun setelah mayat reput. Rambut juga mempunyai maklumat asid deoksiribonukleik (DNA). Proses analisisnya mudah dan berkesan dari segi kos. Di dalam sehelai rambut, ada banyak maklumat penting bagi tujuan pengenalpastian.

Secara umumnya, morfologi dan warna rambut dapat memberikan petunjuk bagi keturunan seseorang. Maklumat, seperti spesies (rambut manusia atau bulu haiwan), lokasi rambut pada badan, rawatan rambut, penyakit, dan sama ada rambut jatuh secara semula jadi atau ditarik secara paksa, ialah suatu yang dapat ditentukan. Oleh sebab itu, rambut yang ditemukan di tempat jenayah dapat digunakan sebagai bahan bukti.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik November 2018.

Posted in: SAINS FORENSIK

Hantar Maklum Balas Anda