BEBUTA ANALGESIK SEMULA JADI

Oleh: Chee Beng Jin

Bebuta atau Excoecaria agallocha sejenis pokok renek yang dapat mencapai ketinggian 15 m. Pokok ini mempunyai daun yang agak tebal dan tumbuh dalam susunan berpusar. Secara lazimnya, daun pokok bebuta bertukar warna daripada hijau ketika matang kepada merah kekuningan atau jingga sebelum gugur apabila tua. Bebuta ialah tumbuhan diesius, iaitu mempunyai bunga jantan dan bunga betina pada pokok yang berlainan.

Pokok ini mengeluarkan getah putih daripada seluruh bahagian tumbuhan. Bunga kecil dihasilkan pada jambak bunga yang berbentuk katkin pada bahagian aksil daunnya. Buahnya kecil dan berbentuk kapsul, serta mengandungi tiga lompang biji benih. Setelah matang, kapsul ini pecah dan menyebarkan bijinya. Pokok ini mempunyai jalinan akar yang mempunyai struktur bersimpul dan mempunyai liang pernafasan yang tumbuh cetek, serta menjalar pada permukaan tanah.

Bebuta tumbuh subur di habitat semula jadinya, iaitu di kawasan yang lebih kering dan tinggi di hutan paya laut. Flora ini tersebar meluas di kawasan pesisiran pantai di beberapa negara, seperti selatan India, Sri Lanka, Myanmar, China, Taiwan dan rantau Asia Tenggara sehingga kawasan utara Australia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda