PEMAKANAN PESAKIT HEMODIALISIS

Oleh: Norsahidah Mod Yusof

Buah pinggang ialah organ yang penting di dalam tubuh manusia kerana berfungsi secara sepenuhnya untuk menyingkirkan bahan toksik yang berlebihan dan mengekalkan keseimbangan cecair di dalam tubuh badan. Buah pinggang turut membantu pembentukan sel darah merah, mengawal tekanan darah dan membantu keseimbangan elektrolit di dalam darah.

Buah pinggang yang gagal berfungsi dengan baiknya boleh menyebabkan buah pinggang gagal mengeluarkan hasil buangan, serta mengimbangkan cecair dan elektrolit di dalam badan. Hal ini menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang mengalami simptom uremik, seperti mudah berasa loya, muntah, pening, hilang selera makan dan lesu. Semua simptom ini berlaku disebabkan oleh buah pinggang yang gagal berfungsi dengan baiknya.

Bagi pesakit yang menghidap masalah buah pinggang, hemodialisis ialah cara terbaik untuk mengembalikan fungsi buah pinggang. Walau bagaimanapun, fungsinya bukan menyamai 100 peratus fungsi buah pinggang yang normal. Hemodialisis ialah rawatan penggantian fungsi buah pinggang untuk menyingkirkan bahan buangan dan lebihan cecair di dalam darah. Dalam rawatan ini, darah dipam melalui tiub untuk masuk ke dalam mesin dialisis. Yang seterusnya, darah ini melalui penapis khusus yang dikenali sebagai pendialisis atau buah pinggang palsu. Selepas ditapis, darah dimasukkan semula ke dalam salur darah.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Tiada

Hantar Maklum Balas Anda