MASYARAKAT SETEMPAT PULIHARA HUTAN PAYA LAUT

Oleh: Hyrul Izwan, M.H., Ismail, P., Tariq Mubarak, H. dan Mohd. Ghazali, H.

Dirian hutan paya laut di sepanjang kawasan pesisiran pantai dan muara sungai berlumpur berperanan penting terhadap kesejahteraan penduduk yang tinggal berhampiran dengannya. Dirian yang padat dan kepelbagaian lapisan membentuk zon penampan semula jadi yang berkesan untuk melindungi masyarakat pesisiran pantai daripada impak ombak besar dan angin kencang, termasuklah tsunami.

Hutan paya laut juga berperanan sebagai perangkap sampah dan penapis semula jadi untuk mengurangkan kesan pencemaran air laut. Selain itu, hutan paya laut turut memainkan peranan penting sebagai kawasan pembiakan utama bagi hidupan akuatik, seperti ikan, ketam, udang, kerang dan siput, serta menjadi habitat bagi hidupan darat, seperti serangga, burung, kelawar, primat dan kelip-kelip.

Selain itu, hutan paya laut yang memiliki nilai estetika tersendiri makin menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara dalam aktiviti memerhati burung dan hidupan liar, serta menyusuri sungai sambil menghayati keindahan alam. Keadaan ini membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pesisiran pantai yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan pantai untuk berkecimpung dalam industri ekopelancongan yang makin berkembang di Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

Hantar Maklum Balas Anda