LANDAK NIBUNG PANDAI BERENANG

Oleh: Jasmi Abdul

Landak nibung (Atherurus macrourus) atau landak batu atau “Brush-tailed Purcupine” ialah satu daripada tiga spesies landak yang ada di Malaysia. Dua spesies landak yang lain ialah landak raya (Hystrix brachyura) dan landak padi (Trichys lipura).

Landak padi pula ialah landak yang paling kecil antara ketiga-tiga spesies landak ini dengan berat tidak melebihi dua kilogram. Landak nibung berbeza daripada landak raya dari segi bentuk, saiz dan warna bulunya. Landak nibung lebih kecil berbanding dengan landak raya. Berat badannya lebih kurang empat kilogram.

Taburan landak nibung bermula dari Assam di India sehingga selatan China, Indochina dan Sumatera. Bulunya berwarna coklat dan lebih pipih berbanding dengan bulu landak raya yang lebih panjang, bulat dan tajam seperti duri. Landak raya boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram dan bulunya berwarna hitam dan putih. Semua spesies landak tinggal di dalam lubang yang digalinya. Landak aktif pada waktu malam dan lebih gemar tidur atau berehat pada waktu siang.

Landak nibung jarang-jarang ditemukan, tidak seperti landak raya yang kesan tapak kakinya mudah dilihat di kawasan hutan tanah pamah, terutamanya di laluan jalan balak atau di tepi tebing sungai yang berpasir.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda