HEMOFILIA PENYAKIT GENETIK

Oleh: Faridah Idris

Hemofilia sejenis penyakit genetik. Hemofilia dapat menyebabkan seseorang itu mengalami perdarahan spontan dan berpanjangan, terutamanya pada otot dan sendi. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Dunia tentang Hemofilia pada tahun 2016, ada 184 723 penghidap hemofilia di seluruh dunia dan 1595 daripadanya berada di Malaysia.

Fenomena perdarahan berpanjangan ini dikenal pasti sejak awal kurun Masihi lagi. Walaupun ada beberapa tulisan awal oleh bangsa Yahudi pada kurun kedua Masihi tentang keadaan yang menyerupai hemofilia, penerangan lengkap tentang hemofilia sebagai suatu penyakit hanya ditulis oleh ilmuwan Islam, iaitu al-Zahrawi atau Albucasis, pada kurun ke-10 Masihi.

Berdasarkan sejarah, Rabbi Yahudi menetapkan suatu peraturan. Jika dua orang adik-beradik lelaki mati disebabkan oleh perdarahan selepas bersunat, anak lelaki ketiga daripada keluarga itu tidak perlu disunatkan. Bersunat juga dikecualikan kepada budak lelaki, jika sepupu lelaki belah ibu mati selepas bersunat. Beberapa peraturan yang lebih kurang sama juga didapati dalam tulisan lain yang berkaitan dengan Yahudi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Perubatan

Hantar Maklum Balas Anda