BERKHATAN HINDARKAN PENYAKIT

Oleh: Mohd. Hisham Mohd. Isa, Syahril Izhan Zainal Abidin, Habsah Aziz dan Mohd. Nazrul Anuar Ali

Khatan berasal daripada bahasa Arab, iaitu “khatana” yang bermaksud potong. Secara umumnya, khatan lebih dikenali sebagai bersunat, masuk jawi dan berkhitan dalam kalangan masyarakat Melayu Nusantara. Khatan bagi lelaki bermaksud memotong seluruh kulit yang menutup hasyafah (kepala zakar) sehingga semua hasyafah terbuka. Khatan bagi perempuan pula bermaksud memotong bahagian bawah kulit yang dikenali sebagai nawat yang berada di bahagian atas faraj.

Berkhatan dapat dikatakan sebagai acara yang sinonim dengan kanak-kanak lelaki Islam, khususnya dan dilaksanakan secara individu atau berkumpulan. Pada kebiasaannya, kanak-kanak lelaki berkhatan pada usia antara enam tahun hingga 12 tahun. Kanak-kanak perempuan pula berkhatan pada usia awal kelahirannya. Walau bagaimanapun, usia berkhatan ini banyak dipengaruhi oleh budaya masyarakat setempat.

Selain tuntutan agama dan sosial, ada banyak laporan tentang kelebihan berkhatan dari sudut kesihatan. Pelbagai kajian dilakukan pada peringkat antarabangsa untuk membuktikannya. Antara kebaikannya termasuklah mengurangkan risiko jangkitan kelamin dan virus kurang daya tahan manusia (HIV) antara 50–60 peratus.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: Sains Perubatan

Hantar Maklum Balas Anda