TPS NUKLEAR MALAYSIA 2018

Oleh: Fatin Syazana Zulkafali

Bangi, 30 Oktober 2018 – Program Technology Preview and Showcase (TPS) 2018 diadakan dengan jayanya pada 30 Oktober hingga 2 November 2018, bertempat di Agensi Nuklear Malaysia. Sebanyak 6000 orang turut serta dalam program yang dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Program ini ialah gabungan tiga aktiviti utama tahunan Agensi Nuklear Malaysia, iaitu Seminar Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) 2018, Hari Inovasi 2018 dan Hari Pelanggan 2018. Program TPS ini ialah platform bagi penyelidik untuk mengetengahkan hasil R&D dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan dalam pasaran, di samping memperkenalkan kemudahan penggunaan makmal, loji dan pusat khidmat.

Menurut Profesor Madya Dr. Ramzah, program perkhidmatan ini dapat melonjakkan perkembangan industri di Malaysia, sekali gus memperkasakan hala tuju bidang penyelidikan ke arah pengkomersialan produk, sama ada pada peringkat tempatan atau luar negara.

Selain itu, program ini juga dapat menjalinkan hubungan antara Agensi Nuklear Malaysia dengan pihak luar, seperti industri dan pelanggan, pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi, serta masyarakat sejagat. Sebagai contohnya, pada tahun ini, tiga buah buku berjaya diterbitkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2018.

Posted in: AKTIVITI

Hantar Maklum Balas Anda