Dewan Kosmik Terus Ungguli Anugerah PERSAMA 2018

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

KOTA KINABALU, 29 November 2018 – Dewan Kosmik tidak menoleh ke belakang apabila terus mengungguli Anugerah PERSAMA 2018 bagi kategori Rencana Popular. Bagi tahun kedua berturut-turut, Dewan Kosmik hampir menyapu bersih semua hadiah yang dipertandingkan apabila empat artikelnya dipilih sebagai pemenang daripada lima hadiah yang ditawarkan.

Bagi kategori Rencana Popular ini, Dewan Kosmik, menerusi artikel “Gasing Bukan Sekadar Lemparan” memenangi Hadiah Utama. Artikel ini ditulis oleh Noor Azie Azura Mohd. Arif dan Chong Chee Jiun yang diterbitkan dalam keluaran Bil. 7 2017. Artikel ini menerangkan konsep putaran gasing yang boleh dikira tempoh pusingan dan keupayaan pusingannya.

Dalam kategori ini juga, tiga hadiah sanjungan dimenangi oleh Dewan Kosmik menerusi artikel “Nombor Fibonacci pada Alam” (Dewan Kosmik Bil. 5 2017) yang ditulis oleh Nurisya Mohd. Shah, “Masjid Kobe Tahan Gempa” (Dewan Kosmik Bil. 12 2017) yang ditulis oleh Mohd. Zaid Yusof dan “Hakikat Warna Berubah” (Dewan Kosmik Bil. 12 2017) yang ditulis oleh Shahrudin Zakaria. Hanya satu Hadiah Sanjungan tidak dapat dimiliki oleh Dewan Kosmik.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: AKTIVITI

Hantar Maklum Balas Anda