Burung Tiung Mas Terbang Tinggi

Oleh: Jasmi Abdul

Burung tiung mas (Gracula religiosa) atau Hill myna satu daripada spesies burung tiung yang ada di Malaysia. Spesies burung tiung yang lain ialah tiung kerbau, tiung hutan dan tiung batu. Saiz burung tiung mas lebih besar berbanding dengan saiz burung tiung kerbau.

Tiung mas digolongkan dalam keluarga Sturnidae. Bulunya berwarna hitam gelap berkilat. Ada dua keping kulit nipis pada bahagian atas belakang pangkal tengkuknya. Kulit nipis ini berwarna kuning keemasan. Malah, ada juga kulit nipis berwarna kuning keemasan pada bahagian pipinya. Ciri inilah yang menyebabkan burung ini dikenali sebagai tiung mas.

Burung tiung mas mengeluarkan bunyi yang kuat dan nyaring, iaitu tiung, tiung, tiung, berulang-ulang. Bunyi ini boleh didengari hingga hampir 500 meter. Burung tiung mas berbunyi ketika terbang atau ketika hinggap pada dahan pokok yang tinggi. Burung ini berbunyi untuk memanggil burung betina dan menentukan kawasan keliarannya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda