Air Liur Pengganti Darah

Oleh: Zulkefli Sanip

Pengesanan awal sesuatu penyakit penting dalam perancangan rawatan yang sesuai dan prognosis penyakit. Secara biasanya, sampel cecair tubuh, seperti darah, diambil daripada pesakit bagi tujuan ini. Cecair tubuh lain, seperti urin (air kencing) dan sampel najis, turut digunakan tetapi bergantung pada keperluan diagnostik.

Selain itu, saliva (air liur) juga berpotensi besar untuk digunakan sebagai cecair diagnostik kerana adanya beberapa kelebihan berbanding dengan darah dan cecair tubuh lain dalam pemantauan kesihatan sistemik dan perkembangan penyakit. Berdasarkan kajian yang dilakukan, didapati bahawa kebanyakan komponen di dalam saliva dapat bertindak sebagai biopenanda bagi tujuan diagnostik pelbagai penyakit sistemik dan setempat.

Sama seperti saliva, darah ialah cecair tubuh yang kompleks dan mengandungi pelbagai komponen molekular, termasuklah enzim, hormon, antibodi dan faktor pertumbuhan. Walaupun sering digunakan, prosedur pengumpulan dan analisis darah selalunya mahal, memerlukan kemahiran dan invasif. Penggunaan saliva sebagai medium bagi penilaian dan pembangunan biopenanda menghilangkan ketidakselesaan pesakit menerusi penyediaan kaedah pengesanan penyakit yang tidak invasif.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: SAINS FORENSIK

Hantar Maklum Balas Anda