Jering Sumber Bateri Kereta Nano

Oleh: Ramli Abdul Halim

Jering ialah tumbuhan yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain dijadikan sebagai ulam, jering mempunyai khasiat dari segi perubatan. Yang sebenarnya, ada satu lagi kegunaan jering dalam bidang teknologi. Jering dapat berfungsi sebagai bahan utama dalam penghasilan bateri kereta nano, iaitu sebagai elemen katod. Apabila jering diproses dengan menggunakan kaedah tertentu, jering mampu bertindak sebagai elektrod katod di dalam bateri kereta nano.

Kajian tentang kegunaan jering ini dilakukan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, serta tiga pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysian Spanish Institute (MSI). Pihak ini mencipta bateri kereta nano dengan menjadikan jering atau Archidendron Pauciflorum sebagai bahan utamanya.

Bateri yang dihasilkan ini memenangi hadiah utama dalam Pertandingan Reka Bentuk Inovasi Malaysia 2018 bagi kategori Trak Keysight pada bulan Julai lalu. Ketahanannya terbukti apabila kereta ini mampu bergerak pada jarak 3000 kilometer tanpa perlu dicas secara kerap.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2019.

Posted in: INOVASI

Hantar Maklum Balas Anda