Koksidiosis Ancam Ayam Ternakan

Oleh: AZRI ADZHAR

Koksidiosis ialah istilah generik yang diberikan kepada penyakit salur usus haiwan domestik yang disebabkan oleh parasit protozoa daripada genus Eimeria. Dalam bidang penternakan ayam, penyakit ini satu daripada penyakit yang penting kerana memberikan kesan yang serius terhadap pendapatan penternak, sama ada dari segi kematian ternakan, pengeluaran telur atau daging, atau tumbesaran ternakan yang tidak mencapai potensi genetiknya. Penyakit ini bertebaran di seluruh dunia dan menyebabkan kerugian ekonomi-ternakan berbilion-bilion ringgit setahun dari segi pengawalannya.

Parasit ini menjalani kitar hidup oral-najis tanpa perumah pertengahan. Bergantung pada pendedahan dan faktor sekitaran, koksidiosis dapat menyebabkan morbiditi dan mortaliti yang tinggi. Ada sembilan spesies koksidia ayam. Lima daripadanya ialah spesies yang penting, iaitu Eimeria acervulina, E. maxima, E. tenella, E. necatrix dan E. brunetti. Spesies lain yang menjadi sangat patogenik ialah E. Mivati, tetapi kurang ubikuitus atau kurang diberikan perhatian.

Seperti semua organisma dalam kelas Sporozoa, koksidia ialah parasit sel tunggal yang mempunyai spora dan tidak mempunyai organ pergerakan, seperti silia atau flagela. Pembiakannya berlaku menerusi kedua-dua peringkat, iaitu seksual (gemetogoni) dan aseksual (skizogoni). Aseksual pula berlaku secara belahan dedua atau berbilang. Tergolong dalam subkelas Telosporodia, koksidia satu daripada tiga order penting dalam keluarga Eimeriidae.

Lesi koksidiosis yang dapat dilihat pada usus kecil dan oosista parasit koksidia (saiz antara 4–5 mikrometer).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Mac 2019.

Posted in: Sains Veterinar

Hantar Maklum Balas Anda