Kecubung Beracun

Oleh AZIZAN  HAJI DAUD


KECUBUNG atau lebih dikenali sebagai terung pungar sejenis pokok renek dalam famili Solanaceae yang berasal dari China. Nama saintifiknya, Datura metel merupakan sejenis tumbuhan beracun yang mempunyai nilai perubatan. Pokok kecubung boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter.

Batangnya keras berkayu dan cabangnya berumpun. Bunga kecubung berbentuk trompet dengan pelbagai saiz dan warna. Warna bunga kecubung yang biasa ditemui ialah ungu dan putih serta kuning dan jingga. Buah kecubung berwarna hijau dan bertukar coklat apabila tua dan mempunyai duri yang halus di bahagian luarnya, seperti kulit durian.

Apabila masak, lenggai buah ini pecah dan mengeluarkan biji berwarna coklat dan berbentuk seperti buah pinggang. Kedua-dua buah dan biji  kecubung beracun. Setiap buah mengandungi lebih kurang 500 biji. Pokok kecubung ditanam menggunakan biji benih atau keratan batang. Daunnya berselang-seli, berukuran antara 10 – 20 sentimeter panjang dan lebar, serta bahagian tepi daun bergerigi. Pertumbuhannya tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Botani

Hantar Maklum Balas Anda