Khasiat Tinggi Susu Ibu

Judul Buku: Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda

Pengarang: Nazirah Johar dan Zaharah Sulaiman

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

SUSU ibu mempunyai nilai yang tinggi kerana mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Kandungan nutrien yang lengkap, suhu yang sentiasa sesuai diminum oleh bayi, perubahan komposisi yang mengikut umur bayi, dan tahap  kebersihan yang tinggi menyebabkan susu ibu sebagai sumber makanan yang cukup sempurna.

Buku Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda memberikan banyak pendedahan tentang kelebihan susu ibu. Setiap bayi yang diberikan susu ibu tidak memerlukan makanan atau minuman tambahan lain sehingga umurnya enam bulan. Kelebihan susu awal (kolostrum) tidak terdapat dalam mana-mana susu formula. Kandungan antibodinya yang tinggi mampu melindungi bayi daripada jangkitan kuman. Kesempurnaan zat kolostrum juga tidak dapat ditandingi oleh kecanggihan teknologi pemakanan bayi pada masa ini.

Menurut buku ini lagi, setiap bayi yang dilahirkan tidak berupaya melindungi tubuhnya daripada sebarang penyakit. Susu ibu mengandungi beberapa elemen penting untuk melawan jangkitan kuman yang membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis penyakit. Antaranya, laktoferin yang bergabung dengan zat besi yang membantu mencegah perebakan bakteria usus, immunoglobulin dan sel darah putih yang bertindak melawan kuman dalam tubuh, protein, vitamin A dan E yang berfungsi untuk melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata, serta limfosit dan marofat yang membantu melawan kuman yang memasuki tubuh bayi.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik April 2012.

Posted in: Buku

Satu Maklum Balas to “Khasiat Tinggi Susu Ibu”

Hantar Maklum Balas Anda