Lalang Agen Antipembekuan Darah

Oleh CHEE BENG JIN

Lalang atau nama saintifiknya Imperata cylindrica (L) P. Beauv sejenis rumput yang  tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter. Daunnya berwarna hijau, panjang, dan lurus dengan urat daun selari serta runcing di hujungnya. Bahagian tepi daunnya agak tajam dan menyebabkan luka jika tidak berhati-hati semasa memegangnya. Bunganya berwarna putih, ringan dan berjambak halus. Lalang mempunyai batang khas yang dipanggil rizom yang bersisik dan tajam, serta tumbuh menjalar di atas tanah.

Lalang dijumpai di sekitar kawasan Asia Tenggara, Afrika, India, Australia serta beriklim tropika, seperti Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Malah, lalang didapati tumbuh di beberapa kawasan bersuhu sederhana, seperti New Zealand dan Jepun. Lalang hidup subur di kawasan yang menerima taburan hujan yang melebihi 1000 milimeter setahun. Lalang juga hidup di kawasan yang kerap dilanda banjir dan tahan kebakaran. Oleh sebab itu, lalang mudah tersebar luas ke kawasan berpasir, seperti persisiran pantai, padang pasir serta habitat berair, seperti kawasan berpaya dan lembah sungai. Kadar pertumbuhan yang tinggi menyebabkan lalang cepat tersebar ke seluruh kawasan baharu sebagai perintis baharu sehingga mengancam sektor pertanian dan perladangan.

Nama saintifik lalang diambil sempena mengingati jasa ahli farmasi berbangsa Itali, iaitu Ferrante Imperato (1550 – 1631). Beliau bergiat aktif dalam kajian sumber semula jadi dan penulis buku Dell’Historia Naturale. Nama lain bagi lalang ialah alang-alang dan ilalang di Indonesia, kunai di Papua New Guinea, kogon dan gogon (Filipina), kyet-mei (Myanmar), co tranh (Vietnam) dan ya-kha (Thailand). Lalang juga dikenali dengan panggilan cogongrass dan satintail dalam bahasa Inggeris dan di Australia dikenali sebagai blady grass.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik keluaran Mei 2012.

Posted in: Botani

Satu Maklum Balas to “Lalang Agen Antipembekuan Darah”

  • Terima kasih kepada penulis. Rupa-rupanya rumpai Lalang pun ada kegunaannya.

Hantar Maklum Balas Anda