Nebula di Cygnus

Oleh MAIA ELEKTRA

SETIAP buruj memiliki keistimewaan. Ada buruj yang diceriakan dengan bintang yang bergemerlapan, seperti Orion dan Ursa Major. Ada pula yang dihujani dengan ribuan galaksi, seperti buruj Coma Berenices, Corona Borealis, Ursa Minor dan Virgo. Selain itu, gugusan bintang terbuka turut mewarnai buruj, seperti Carina dan Monoceros.

Buruj Cygnus tidak kurang hebatnya kerana kehadiran pelbagai objek kosmik. Hal ini demikian kerana Cygnus berada pada garis horizontal Bima Sakti. Selain dihiasi dengan bintang menawan, seperti Deneb, Albireo, 31 Cygni dan 61 Cygni, Cygnus turut diserikan dengan eksoplanet, nebula, galaksi, lohong hitam dan gugusan bintang terbuka. Tiga jenis nebula yang menyerikan Cygnus ialah nebula pancaran, bintang siarah nebula, dan nebula yang dihasilkan oleh letupan bintang.

Buruj Cygnus yang turut dikenali sebagai Palang Utara mudah dikenal pasti dari garis lintang 90° utara hingga 28° selatan. Cygnus berada tinggi di langit, pukul 10.00 malam dari Ogos hingga September. Keluasannya 804° persegi, menjadikannya buruj ke-16 paling besar di langit.

Bintang siarah nebula yang pertama ditemui di Cygnus diberi nama Nebula Berkelip-kelip (NGC 6826, Caldwell 15), berjarak 2000 tahun cahaya. Magnitud ketara ialah 8.8 dan berdiameter 0.4 tahun cahaya. Pada tahun 1878,  seorang ahli astronomi Perancis bernama Edouard Stephan (1837 – 1923) menemui sebuah nebula, NGC 7027. Berdasarkan saiznya yang kecil, iaitu 0.1 tahun cahaya, saintis membuat anggaran bahawa usianya baru mencapai 600 tahun. Magnitud ketara ialah 10.0 dan berjarak 3000 tahun cahaya.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Sains Angkasa

Hantar Maklum Balas Anda