Komputer Menjejaskan Kesihatan?

Judul Buku: Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan

Pengarang: Sharifah Mastura Syed Mohamad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18.00

Tahun Terbit: 2011

Pengulas: Suria Janib

KOMPUTER juga mengalami penyakit yang disebabkan oleh virus dan cecacing komputer. Dalam komputer, terdapat penyakit e-mel, seperti spam dan penyakit komputer yang lain, seperti kerosakan cakera keras dan papan kekunci. Penyakit komputer sememangnya menyusahkan pengguna komputer. Penyakit komputer boleh dibaiki dan komputer yang rosak teruk boleh diganti dengan yang lain.

Namun, benarkah komputer boleh membawa penyakit kepada manusia? Buku Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan memberikan penerangan yang jelas dan menarik berhubung dengan perkara ini. Menurut pengarang buku ini, pelbagai jenis penyakit boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh penggunaan komputer dengan cara yang tidak betul. Walaupun penyakit bawaan komputer ini tidak membawa maut, mereka yang terkena penyakit bawaan komputer, keadaan ini akan menyusahkan dan kualiti hidupnya merosot.

Risiko penyakit bawaan komputer hanya menjangkiti pengguna yang dinamai sebagai “kaku komputer”. Pengguna yang duduk di hadapan komputer dalam tempoh masa yang lama berisiko tinggi mendapat penyakit bawaan komputer.

Penyakit yang biasa dikaitkan dengan penggunaan komputer yang tidak betul termasuklah gangguan mata dan penglihatan, gangguan pendengaran, sakit kepala, bahu, belakang badan, pinggang, bahagian punggung, lutut dan sakit kaki. Penggunaan komputer yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit psikososial, seperti kemurungan, gangguan emosi dan ketagihan komputer.

Buku ini turut mendedahkan beberapa kes terhadap pengguna yang ketagihan komputer dalam melayari laman sosial dan leka bermain dalam internet. Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan mental, fizikal, dan menyebabkan otak kurang daya berfikir. Sekiranya pekerja, keadaan ini mengurangkan produktiviti kerana mengganggu tugas harian.

Buku ini turut menekankan subtopik ergonomi komputer, iaitu kajian mengenai antara muka manusia dengan mesin yang menekankan tentang keselesaan pengguna semasa menggunakan komputer. Dalam jangka masa yang panjang, penggunaan komputer yang tidak selesa memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan pengguna.

Perkara utama tentang keselesaan tempat kerja ialah kebolehsuaian peralatan dan perkakasan kerja untuk disesuaikan dengan dimensi badan yang berlainan, pilihan gaya kerja individu, dan keperluan untuk mengubah kedudukan bagi mengelak kepenatan.

Beberapa panduan diberikan oleh pengarang apabila seseorang itu menggunakan komputer dengan postur badan yang betul. Misalnya, menentukan kedudukan yang sesuai di kerusi ketika menghadap komputer, kedudukan meja, komputer, peletakan dokumen, penaipan, dan cara penggunaan komputer riba serta komputer buku nota, semuanya diterangkan dalam buku ini secara terperinci.

Panduan penggunaan komputer riba dan komputer buku nota dengan cara yang betul juga dimuatkan dalam buku ini untuk menghindari pengguna daripada mengalami keadaan ketidakselesaan. Pengguna juga diingatkan supaya tidak meletakkan komputer riba di atas paha bagi mengelakkan bateri cepat kehilangan kuasa dan haba yang dihasilkan oleh komputer ini boleh menyebabkan kemandulan kepada kaum lelaki.

Bagi pengguna komputer yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat seperti pengatur cara, jurutera perisian, atau pereka digital perlu mengamalkan senaman yang sesuai bagi mengelakkan diri daripada masalah kesihatan. Produktiviti kerja tidak sepatutnya terganggu dengan mengamalkan cara kerja yang betul, di samping melakukan senaman ringan semasa bekerja. Beberapa panduan melakukan senaman ringkas bagi pengguna komputer turut dimuatkan dalam buku ini untuk mengurangkan ketegangan.

Pengguna sekarang tidak boleh lari daripada menggunakan komputer, tetapi mereka perlu tahu cara terbaik menggunakannya supaya dapat memberikan manfaat kepada kehidupan dan kesihatan sepanjang hayat.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Posted in: Buku

Hantar Maklum Balas Anda