Hindari Seks Sebelum Berkahwin

Judul buku: Gadisku Bacalah …
Pengarang: Azriani Ab. Rahman dan Mohd.
Ismail Ibrahim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18.00
Tahun Terbit: 2011
Pengulas: Suria Janib

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia pada tahun 2008 melaporkan bahawa antara 14 hingga 15 juta orang gadis remaja yang berusia antara 15 hingga 19 tahun melahirkan anak setiap tahun di seluruh dunia.

Peningkatan peratusan kelahiran anak luar nikah selari dengan peningkatan kes pembuangan bayi dan kes jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan golongan muda di negara ini. Antara punca utama masalah ini termasuklah ketandusan ilmu pengetahuan berhubung dengan komplikasi hubungan seks dalam kalangan remaja.

Perubahan fizikal gadis menyebabkan mereka terlalu dihantui untuk menjaga penampilan diri dan sering berasa rendah diri apabila mendapati bentuk badannya kurang cantik berbanding dengan rakan yang lain. Perasaan dihantui terhadap berat badan mendorong gadis mengambil ubat pil kurus tanpa merujuk doktor terlebih dahulu.

Mereka tidak menyedari bahawa ubat pil kurus boleh menyebabkan kerosakan hati, injap jantung dan buah pinggang. Perkembangan fizikal turut mempengaruhi emosi gadis, seperti gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Apabila menghadapi stres, hormon stres, iaitu kortisol, hormon pertumbuhan, norepinefrin dikeluarkan dan masuk ke dalam darah. Pengumpulan hormon stres tersebut memberikan kesan terhadap sel otak sehingga mencetuskan gangguan emosi dan pemikiran.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.
Posted in: Buku

Hantar Maklum Balas Anda