Berakhirnya Feminin Wanita

Oleh NIK HAZLINA NIK HUSSAIN

PUTUS haid atau menopaus berlaku pada waktu pertengahan usia seseorang wanita. Keadaan ini terjadi apabila ovari berhenti menghasilkan telur. Perkataan “menopaus” berasal daripada perkataan Greek, iaitu “meno” yang bererti haid dan “pause” pula bermaksud berhenti. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada kes yang berlaku secara mendadak.
Istilah lain yang diberikan kepada jangka waktu yang diambil oleh seorang wanita semasa perubahan daripada tahap kesuburan yang tinggi kepada ketidaksuburan ialah klimakterik. Semasa peringkat klimakterik, pengeluaran hormon estrogen daripada ovari semakin berkurangan. Keadaan ini menyebabkan aras hormon wanita tidak stabil. Ketidakstabilan aras hormon inilah yang menyebabkan beberapa perubahan tertentu berlaku dalam diri wanita yang menopaus.
Selain itu, terdapat kes menopaus palsu, iaitu menopaus yang berlaku secara bukan semula jadi. Misalnya, dalam kes pembedahan membuang ovari yang terpaksa dilakukan kerana terdapat ketumbuhan atau kanser, atau disebabkan oleh ubat-ubatan, seperti kesan radioterapi atau kemoterapi. Dalam kes ini, menopaus berlaku secara mendadak atau secara tiba-tiba, dan selalunya gejala klimakterik agak ketara berbanding dengan wanita yang mengalami menopaus secara semula jadi. Walau bagaimanapun, menopaus yang sangat awal boleh berlaku secara spontan, dan penyebabnya selalunya tidak dapat ditemui.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2012.

Posted in: Kesihatan Wanita

Hantar Maklum Balas Anda