Parasit Membawa Maut

Oleh ZEEHAIDA MOHAMED dan ZAIDAH ABDUL RAHMAN
PARASIT sejenis hidupan yang mendapatkan sumber makanan dan keperluan lain daripada perumahnya. Faktor yang menyebabkan infestasi parasit ialah tahap kebersihan persekitaran tempat tinggal yang rendah, amalan kebersihan diri yang kurang, tahap sosioekonomi rendah dan sistem pembuangan najis yang tidak sempurna.
Tanda klinikal secara umum termasuklah sakit di bahagian perut,
cirit-birit, cirit-birit berdarah dan tumbesaran terbantut (bagi kanak-kanak). Antara komplikasi yang penting termasuklah usus tersumbat, kekurangan zat makanan, kekurangan sel darah merah (anemia), apendisitis dan bengkak hati.
Parasit yang penting dalam bidang perubatan dibahagikan kepada dua kumpulan besar yang terdiri daripada protozoa dan cacing.
Protozoa organisma uniselular yang mempunyai morfologi lengkap dan boleh berfungsi sebagai benda hidup. Saiznya antara dua hingga 100 mikrometer.  Strukturnya terdiri daripada sitoplasma (ektoplasma dan endoplasma) dan nukleoplasma.
Protozoa mempunyai dua fasa yang berbeza, iaitu fasa aktif yang dinamakan trofozoit dan fasa tidak aktif, sista, yang lebih tahan terhadap perubahan persekitaran.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Mikrobiologi

Hantar Maklum Balas Anda