Ujian Saringan Penyakit

Judul Buku : Saringan Kesihatan Pengesanan Awal Penyakit
Pengarang : Razana Zakaria, Rahimah Zakaria dan Zahiruddin Othman
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM18.00
Tahun Terbit : 2011
Pengulas : Suria Janib

KITA pernah melihat pemeriksaan tekanan darah atau pengesanan aras glukosa darah yang dilakukan secara percuma di mana-mana tempat untuk mengesan penyakit tertentu di samping mempromosi sesuatu produk kesihatan. Pengesanan penyakit yang dilakukan secara rambang ini kurang teratur, tidak lengkap, tidak mengikut keperluan serta kekerapan ujian yang disarankan dan hanya melibatkan satu atau dua ujian.

Pakej pemeriksaan kesihatan berkala yang ditawarkan oleh klinik atau hospital menyediakan pemeriksaan kesihatan yang lebih lengkap, melibatkan semua peringkat pencegahan penyakit dan memastikan penyimpanan rekod kesihatan pesakit yang teratur untuk tujuan rujukan pada masa hadapan. Melalui pakej ini, pelanggan dapat menjalani proses pencegahan penyakit secara lengkap dan boleh mendapatkan rekod status kesihatan untuk rujukan pada bila-bila masa berbanding dengan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara rambang.

Pemeriksaan kesihatan berkala bertujuan untuk mencegah penyakit dan melibatkan kesemua peringkat pencegahan penyakit, terutamanya mengenal pasti faktor risiko dan ujian saringan (pencegahan penyakit peringkat sekunder), di samping pendidikan kesihatan dan pelalian (pencegahan penyakit peringkat primer), serta pengawalan penyakit yang sudah dihidapi bagi mengehadkan komplikasi dan ketidakupayaan akibat penyakit tersebut (pencegahan penyakit peringkat tertiar).

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2012.

Posted in: Buku

Hantar Maklum Balas Anda